TANJUNG MALIM: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama dan sokongan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah membangunkan instrumen Return To Work (RTW) Readiness Scale bagi membantu menyegerakan proses golongan pekerja yang mengalami hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit kembali ke alam pekerjaan.
Penghasilan instrumen penilaian yang dibuat menerusi kaedah penyelidikan ini membolehkan kesediaan untuk kembali bekerja dalam kalangan individu yang mengalami hilang upaya di bawah program Return To Work (RTW) PERKESO dikenal pasti dengan lebih awal dan tepat.
Ia sekali gus membantu pengurus dan pembantu pengurus kes untuk merangka pelan rehabilitasi dan program intervensi yang bersesuaian ke atas peserta RTW agar mereka dapat kembali bekerja lebih awal, sihat dan selamat.
Penilaian kesediaan individu untuk kembali bekerja adalah sangat penting memandangkan ia adalah salah satu daripada elemen utama dalam pengurusan hilang upaya ke atas Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang ditimpa kecederaan atau penyakit.
Instrumen ini telah dibangunkan menerusi kerjasama penyelidikan bersama pensyarah UPSI dan Pengurus Kes PERKESO, susulan kerjasama yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) sejak 9 Mac 2021.
Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, instrumen itu akan digunakan sebagai alat penilaian tambahan dalam pengurusan kes Program RTW, di samping instrumen sedia ada bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pengurusan hilang upaya PERKESO.
“Kerjasama penyelidikan ini mencerminkan komitmen PERKESO dalam menambah baik perkhidmatan pengurusan hilang upayanya khususnya kepada para OB melalui penerokaan lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak luar.
“Sehingga 16 September 2022, seramai 49,851 peserta RTW telah berjaya dibantu dengan pelbagai program pemulihan komprehensif untuk kembali ke alam pekerjaan dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya pada Majlis Pelancaran Return To Work (RTW) Readiness Scale di sini.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.
Dr. Md. Amin dalam ucapannya berkata, instrumen itu dibangunkan hasil penyelidikan pasukan dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia UPSI bagi menghasilkan inovasi yang dapat memanfaatkan masyarakat khususnya kepada para pencarum PERKESO.
“Saya percaya dengan terhasilnya instrumen ini, para pencarum akan dapat dibantu secara efisien dan ini akan meningkatkan motivasi pemulihan dan kesihatan mental mereka.
“Sudah tentu kejayaan ini sukar dicapai tanpa kerjasama dan komitmen berterusan daripada pihak PERKESO dalam memastikan jaringan strategik ini mencapai matlamatnya,” katanya. – UTUSAN