ALOR SETAR: Sebahagian daripada 547 penumpang feri yang terkandas di perairan Kuala Kedah, di sini dilaporkan mengalami sesak nafas dan kekejangan.
Kesemua mereka kemudian dipindahkan menerusi operasi pemindahan perubatan (Medevac) menggunakan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan bot nelayan.
Penumpang warga emas yang mempunyai masalah kesihatan serta ibu bersama bayi turut diberi keutamaan untuk dipindahkan ke darat yang hanya berjarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan sebuah feri terkandas di Muara Kuala Kedah akibat air surut pada pukul 4.15 petang tadi.
“Bantuan awal Medevac ke atas penumpang tersebut dilakukan oleh aset bot Zon Maritim Kuala Kedah pada pukul 5.37 petang.
“Aset terlibat ialah Bot Perkasa 1224 serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan berikutan hanya bot kecil sahaja boleh merapat di feri tersebut dalam usaha untuk membawa penumpang,” katanya.
Sementara itu, seorang penumpang, Muhammad Faizal Abdullah, 36, berkata, feri tersebut berlayar dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi kira-kira pukul 1 petang ini.
“Bagaimanapun, feri tiba-tiba tersangkut pada beting lumpur tidak jauh dari Terminal Feri Kuala Kedah kira-kira pukul 3 petang.
“Kami sudah lebih empat jam terkandas dan ketika ini terdapat sebuah bot yang menarik keluar feri dari lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, secara kebetulan, terdapat penumpang terdiri daripada pegawai perubatan yang membantu mereka mengalami kekejangan.
“Keadaan terkawal, namun kebanyakan bayi dan kanak-kanak menangis kerana keadaan panas dan terlalu lama berada di dalam feri. Feri cuba ditarik keluar, namun sehingga pukul 7.30 malam ini belum dapat bergerak,” ujarnya.
Menurutnya, ramai penumpang yang keluar daripada ruang tempat duduk dan duduk di kawasan terbuka. – UTUSAN








