Penjual online sasaran sindiket wang palsu

Penjual online sasaran sindiket wang palsu

TANGKAP layar hantaran yang dikongsikan oleh seorang mangsa mengenai kisah ibunya yang menerima wang palsu bernilai RM100 di Kuala Nerus, Terengganu, Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket penipuan wang palsu belum ‘mati’ tetapi penjenayah itu kini me­nyasarkan pekerja penghantar barang yang berurusan secara tunai atau cash on delivery (COD).

Malah terbaharu di Kajang, seorang lelaki ditipu ‘pembeli’ dalam urusan penjualan telefon bimbit apabila 17 keping wang RM100 atau RM1,700 wang dite­rima daripada seorang wanita adalah wang palsu.

Mangsa hanya menyedari di­tipu apabila ingin memasukkan wang tersebut ke dalam mesin deposit namun tidak diterima mesin tersebut.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, jika sebelum ini penipuan wang palsu banyak berlaku di premis perniagaan runcit, stesen mi­nyak dan peniaga-peniaga tepi jalan, kini ia beralih kepada jualan dalam talian.

Menurut sumber, modus operandi sindiket biasanya akan menghubungi peniaga untuk membeli barangan yang ditawarkan melalui media sosial dengan bayaran secara tunai.

“Selepas ada persetujuan, ahli sindiket akan memilih lokasi penerimaan barang yang seboleh-bolehnya dilakukan di tempat gelap atau pada waktu malam selain tiada rakaman kamera litar tertutup,” katanya di sini semalam.

Selain itu, kata sumber lagi, ahli sindiket itu selalunya akan membuat bayaran dengan tergesa-gesa dan ingin segera beredar.

Kata sumber, tindakan ahli sin­diket itu menyebabkan mang­sa tidak sempat untuk me­lakukan pemeriksaan dan hanya sedar tertipu apabila gagal memasukkan wang ke dalam mesin deposit tunai.

“Malah ada mangsa hanya menyedari penipuan itu apabila wang tersebut ditolak oleh kedai-kedai ketika membuat bayaran selain mendapati nombor siri wang adalah sama,” jelasnya.

Sumber berkata, kebiasaannya penipuan wang palsu ini dilakukan oleh warga tempatan dengan mencetak menggunakan mesin fotostat.

“Biasanya suspek akan membuat salinan duit palsu yang bernilai RM50 atau RM100 untuk digunakan dalam urusan pembelian,” jelas sumber.

Sebagai rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menerima sebanyak 665 kes membabitkan wang palsu pada tahun 2021 manakala 1,400 kes pada tahun 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN