PASIR SALAK: Pengundi di sini berikrar terus menyokong Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dilaporkan digantung keahliannya dalam UMNO selama enam tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengundi yang ditemui di Chenderong Balai juga rata-rata menyatakan rasa kesal apabila wakil rakyat mereka yang sudah banyak berjasa kepada penduduk dan kepada parti dikenakan tindakan disiplin yang keras.
Mohamod Muhamad, 66, dari Kunci Air 4, Chenderong Balai di sini berkata, mereka tetap menyokong Tajuddin dan mahu bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu bertanding di Parlimen Pasir Salak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, jika Tajuddin tidak bertanding atas tiket UMNO atau Barisan Nasional (BN), mereka tetap mengundi dan memastikan Tajuddin menang di sini.
“Saya dan penduduk di sini sebulat suara membuat ikrar menyokong Tajuddin. Beliau sudah banyak berjasa kepada penduduk iaitu sejak menjadi pemimpin di sini selain banyak berjasa kepada parti.
“Kami akan terus memastikan beliau menang dalam PRU15, tanpa mengira beliau bertanding atas parti mana sekalipun. Sudah terbukti hanya beliau yang mampu membela rakyat di sini sejak dahulu. Kami tidak mahu orang lain menjadi ahli parlimen kami di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia dan penduduk terkejut dengan laporan Tajuddin digantung keahlian daripada UMNO.
Katanya, tindakan disiplin digantung keahlian selama enam tahun atau dua penggal itu amat berat dan tidak patut dikenakan terhadap pemimpin yang sudah banyak berjasa kepada parti seperti Tajuddin.
“Mengapa beliau tidak diberikan peluang untuk membela diri dan digantung tanpa diberitahu sebabnya?” katanya.
Jelasnya, penduduk di sini sudah biasa dengan kepemimpinan Tajuddin yang banyak membela nasib penduduk luar bandar yang banyak terlibat dalam aktiviti pertanian.
Katanya, semasa Tajuddin menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, semua bantuan dan kemudahan untuk kegiatan pertanian di kawasan ini dalam keadaan baik dan memberi manfaat yang amat besar kepada petani.
“Siapa lagi yang boleh ganti seperti Tajuddin? Bagi kami walaupun dia sudah digantung keahlian dalam UMNO, kami akan sokong beliau walaupun bertanding atas parti lain pada PRU15,” katanya. – UTUSAN