Pembuktian penting ukur tahap rasuah di Malaysia

Pembuktian penting ukur tahap rasuah di Malaysia

RAZIM MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengerahkan sumber bagi memperkasa pegawainya dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan ke arah membangun serta menjalankan penyelidikan tentang tahap rasuah di negara ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor berkata, penyelidikan itu juga boleh menjadi rujukan untuk kajian masa depan mengenai
landskap rasuah di rantau ASEAN.

“Kerajaan juga boleh menggunakan hasil penyelidikan itu bagi melaksanakan dasar dan inisiatif yang lebih kukuh untuk membendung gejala rasuah di negara ini,” katanya pada majlis penutup bengkel pengukuran rasuah melalui kaedah berasaskan bukti di sini.

Bengkel itu dianjurkan SPRM bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dengan input pakar daripada Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC).

Bengkel lima hari yang berakhir pada Jumaat lalu itu bertujuan melengkapkan peserta daripada SPRM dan Jabatan Perangkaan Malaysia dengan teknik dan kemahiran mengukur rasuah dengan kaedah berasaskan pengalaman atau bukti.

Razim berkata, sebagai persediaan ke arah kajian rasuah peringkat kebangsaan pertama SPRM, iaitu Kajian Rasuah Malaysia (MaCoS) terdapat harapan yang tinggi untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang tahap rasuah di Malaysia.

Sementara itu, penyelaras program Ijazah Sarjana Pengajian Sains Sosial Pengajian Rasuah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Jalaludin Abdul Malik berkata, tinjauan berasaskan bukti adalah penting untuk mengukur tahap sebenar rasuah di negara ini, yang tidak boleh diperoleh daripada indeks berasaskan persepsi.

Jelasnya, masyarakat sering dimomok oleh tinjauan berasaskan persepsi yang mengatakan negara mempunyai tahap rasuah yang begitu teruk.

“Sebagai contoh, perbincangan politik yang berpusat pada beberapa kes besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak boleh digunakan sebagai landasan untuk menentukan keadaan rasuah di negara ini.

“Ia jauh lebih mendalam dan datanya boleh membantu agensi kerajaan merangka strategi danintervensi yang lebih bersasar untuk menutup peluang rasuah sama ada di peringkat negeri atau nasional,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN