REMBAU: Tindakan saman telah dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang tular melakukan kesalahan trafik di persimpangan lampu isyarat Kompleks Pentadbiran Daerah Rembau, di Jalan Seremban-Tampin, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pemandu lelaki berusia 24 tahun itu berjaya dikesan pada hari sama di Seremban kira-kira pukul 9.51 malam.
Menurutnya, pemandu berkenaan disaman RM300 bagi kesalahan melanggar lampu isyarat.
“Hasil siasatan mendapati, pemandu memandu dari arah Rembau menghala ke Tampin. Semasa sampai di tempat kejadian, dia telah mengekori rapat kenderaan hadapan, mengelak ke kanan sebagai cubaan mengelak berlaku kemalangan dengan kenderaan hadapan yang menekan brek secara tiba-tiba.
“Namun pemandu itu telah meneruskan perjalanan semasa lampu isyarat masih merah. Pemandu telah dinasihati supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu tidak menggunakan emosi serta menjadi pengguna jalan raya yang berbudi bahasa dan berhemah,” katanya hari ini.
Jelas Hazri, kes disiasat di bawah Kaedah 17 LN 167/59 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Semalam, media melaporkan video tular di media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza memandu secara melulu serta melakukan kesalahan trafik.
Polis mengesan video tular berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi semalam dan menerusi video itu mendapati kenderaan MPV tersebut datang dari arah Seremban menghala ke Tampin.
Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, MPV berkenaan telah memotong sebuah kenderaan di garisan berkembar sebelum bergerak dalam keadaan lampu isyarat masih merah. – UTUSAN