PETALING JAYA: Tindakan Pas memilih menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai satu keputusan yang misteri.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau harian dengan ketetapan itu kerana Bersatu hanya memenangai enam kerusi Parlimen sahaja pada PRU14 sebelum ini.
“Kenapa (Pas) pilih Bersatu jadi misteri kepada saya sampai saat ini? Saya harap mereka tak tersalah kira kerana Bersatu ini hanya ada enam kerusi Parlimen, itu saja dimiliki.
“Yang menjadikan 31 kerusi adalah kerana lompatan daripada dua kumpulan iaitu 15 kerusi dari UMNO dan 10 kerusi dari kumpulan Azmin (bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).
“Jangan pula fikir Bersatu ada 31 kerusi. Itu sebab misteri kenapa pilih rakan yang ada enam kerusi berbanding kami yang ada pada UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jadi hairan kenapa pergi orang ada enam.
“Bukanlah mahu mendahului ketentuan tuhan, tetapi kita menawarkan kerusi yang yakin mereka boleh menang seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jadi perkara ini amat pelik dan ajaib apa yang berlaku di Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian sesi wawancara bertajuk ‘Sembang PRU15’ oleh Media Mulia TV (MMTV).
Mengulas lanjut, Ahmad yang juga penyandang Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau secara peribadinya masih tidak melihat sebarang ruang untuk berunding dengan Pas bagi menghadapi PRU15.
“Tapi itu semua kerja Allah. (Kalau ada kerjasama) selepas PRU15 itu pun kerja Allah,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, sebarang kerjasama selepas PRU15 dengan mana-mana parti hanya diputuskan selepas pilihan raya itu nanti sahaja.
“Malah, apakah kaedah untuk wujudkan kerajaan stabil (diputuskan selepas PRU15) sebab BN mahu kerajaan stabil, tetapi bagaimana untuk dapat kerajaan stabil, maka kita lihat selepas 19 November ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, BN percaya sentimen mahupun naratif ‘kluster mahkamah’ yang terpalit kepada pemimpin UMNO terutama Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak merencatkan kemenangan gabungan itu dalam PRU15.
Beliau berkata, dakwaan skandal kepada parti itu bukanlah perkara baharu kerana ia sudah terjadi ketika tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Katanya, BN tetap menang serta dapat memperoleh mandat rakyat dalam kesemua pilihan raya tersebut.
“(Oleh itu), apa berlaku kepada Ahmad Zahid bukan selepas kemenangan itu (PRK dan PRN), tetapi telah berlaku sejak mereka (Pakatan Harapan) ambil alih kerajaan.
“Jadi, kalau itu merencatkan kemenangan, saya kira tidak (sebab) rakyat mahukan kestabilan dan rakyat tidak mahukan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal,” katanya.
Ahmad meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan naratif parti itu parti rasuah seperti mana yang dicanangkan musuh politik mereka.
“Kita ada lebih tiga juta ahli, adakah semua rasuah? Yang masuk penjara (hanya) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau masih mempunyai peluang rayuan tertentu walaupun telah sampai di peringkat Mahkamah Persekutuan.
“(Pemimpin) yang lain pula masuk mahkamah bebas (bebas lepas dan bebas tidak lepas), jadi jangan kerana perkara seumpama itu terus labelkan semua sama,” jelasnya. – UTUSAN