JEMPOL: Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah di negara ini yang dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2023 semalam turut akan diberikan kepada pekebun kecil getah Felda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu dasar pemberian BMT sebelum ini yang mensyaratkan hanya pekebun yang mempunyai tanah seluas lima ekar (2.2 hektar) layak memohon akan diubah kepada 10 ekar (4.5 hektar).
Jelas beliau, dengan syarat baharu itu, ia membolehkan pekebun kecil getah Felda akan menerima bantuan berkenaan.
“Saya mahu umumkan pada hari ini, apa yang pekebun kecil Risda dapat, pekebun kecil getah juga akan dapat. Bermakna, kalau pekebun kecil Risda dapat RM800, pekebun kecil Felda juga akan dapat.
“Dahulu kerajaan tidak boleh beri, kalau tidak silap saya, kena lima ekar ke bawah sedangkan pekebun kecil Felda mempunyai 10 ekar ke bawah.
“Oleh itu, kita ubah dasar untuk membolehkan pekebun kecil getah Felda juga dapat, kita ubah polisi supaya yang mempunyai 10 ekar juga dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap sempena Program Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia @ Jempol di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Palong 7, Palong di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif.
Ismail Sabri berkata, Bajet 2023 yang memperuntukkan keseluruhan sebanyak RM372.3 bilion seperti yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam merupakan belanjawan untuk semua golongan rakyat tanpa ada yang terpinggir.
“Kerajaan mahu supaya semua akan dapat faedah dari Bajet 2023, supaya kita makmur secara bersama, itu selari dengan gagasan Keluarga Malaysia, tiada siapa yang terpinggir. Bajet semalam jelas menunjukkan tiada siapa yang terpinggir,” katanya. – UTUSAN