Nikmati pemandangan indah di Idaman PCB Riverview

Nikmati pemandangan indah di Idaman PCB Riverview

Idaman PCB Riverview yang diusahakan Zainun Salleh bersama suaminya kini mempunyai empat chalet dan tiga glamping.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahu memancing sambil menyaksikan pemandangan indah terutama di waktu senja dengan penginapan mengadap Sungai Badang, semestinya ia mampu diperoleh di Idaman PCB Riverview.

Malah, pengunjung yang datang boleh memilih sama ada mahu bermalam di bilik atau chalet ataupun glamping yang semestinya masing-masing mempunyai keunikan atau tarikan yang berbeza.

Terletak di Kampung Pulau Pasir, Semut Api di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Idaman PCB Riverview yang diusahakan sepasang suami isteri, Zainun Salleh, 53, dan Wan Yusuff Ismail, 57, itu cukup menarik perhatian sesiapa sahaja yang berkunjung dengan pemandangan alam semulajadi.

Terdapat empat biji chalet dan tiga glamping serta kemudahan kolam renang selain sesiapa yang menginap di resort berkenaan berpeluang untuk melakukan aktiviti berkayak selain menaiki bot mengelilingi Sungai Badang.

Zainun berkata, Idaman PCB Riverview yang diusahakan bersama suami itu bermula sejak 2016 bermula dengan satu unit dan sehingga kini memiliki tujuh unit termasuk glamping.

Katanya, tarikan utama mereka memilih Idaman PCB Riverview adalah pasangan yang baru berkahwin dan mahu menikmati mulan bulan madu, menyambut hari jadi serta mereka yang suka memancing.

“Tarikan utama di sini semestinya adalah glamping memandangkan saya difahamkan di sini satu-satunya glamping di Kelantan. Malah sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan tempahan untuk glamping sudah penuh sehingga Januari tahun depan.

“Malah, chalet juga mendapat sambutan menggalakkan dan boleh dikatakan hampir setiap minggu penuh. Kebanyakan pengunjung kami tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pengalaman memancing dari chalet atau glamping masing-masing.

“Syukur alhamdulillah dengan sambutan hangat yang diterima. Selain mereka boleh memancing, kami juga menyediakan kayak serta bot untuk mereka yang berminat melakukan aktiviti berkenaan selain kemudahan bbq untuk pengunjung,” katanya ketika ditemui.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, harga yang dikenakan untuk chalet adalah RM120 satu malam, manakala glamping pula RM150 dan RM190 bagi pemandangan sungai.

“Untuk setiap glamping boleh memuatkan sehingga lima orang dan turut disediakan kemudahan penghawa dingin serta tandas khas bersebelahan glamping masing- masing.

“Memandangkan sambutan terutama glamping di luar jangkaan, kami dalam proses menyiapkan satu lagi glamping yang berada di atas air dan dijangka beroperasi tidak lama lagi selain bakal menambah beberapa unit lagi.

“Mereka yang mahu membuat tempahan chalet atau glamping boleh berbuat demikian menerusi booking.com dan Facebook Idaman PCB Riverview,” katanya.

Mengulas mengenai modal untuk membangunkan perniagaan chalet berkenaan, Zainun berkata, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) banyak membantunya dari segi suntikan modal dan sehingga kini dia masih bersama AIM.

Katanya, dia bermula dengan AIM pada 2011 dengan membuat pembiayaan RM3,000 dan jumlah itu semakin meningkat sehingga hari ini. Saya sudah pastinya akan terus bersama AIM untuk

membesarkan lagi perniagaan yang kami usahakan ini. Terima kasih AIM yang telah terlalu banyak membantu saya sehingga kini,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Puan Zainun di talian 013-9079373. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN