PETALING JAYA: Negara tidak mempunyai daya tarikan yang tinggi untuk menarik pelaburan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, disebabkan Malaysia tidak mempunyai daya tarikan yang kuat untuk menarik pelabur menyebabkan negara mendapat kesan daripada segi peluang pekerjaan, pendapatan negara dan sebagainya.
Menurutnya, negara memerlukan bentuk pelaburan langsung asing (FDI) yang bernilai tinggi, bukan sahaja membawa pulangan atau pendapatan negara tetapi juga mencipta peluang pekerjaan iaitu bertepatan dengan taraf pendidikan rakyat.
“Sekiranya buka kilang yang pengendali semata-mata, itu ada masalah kerana kita terpaksa menunggu kemasukan pekerja asing. Kita nak FDI yang berada di tahap pertengahan, kalaupun bukan di tahap tinggi.
“Sebagai contoh, barang daripada negara lain sama ada kita proses di tempat lain tetapi dipasangkan di sini ataupun kita menjadi pembekal teknologi kepada negara lain yang memasang, itu ada masalah.
“Sebab itu juga ada kesan kepada jenis dan bentuk pekerjaan yang ada pada graduan-graduan sekarang,” katanya pada program khas sempena pembentangan Bajet 2023 yang disiarkan TV3 semalam.
Program khas tersebut juga menampilkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai panel.
Rafizi berkata, sekiranya pelabur tidak memandang negara sebagai sebuah tarikan yang menjana pendapatan apabila mereka melabur ia akan menyebabkan rakyat menghadapi kesannya.
“Ini akan menyebabkan bentung peluang pekerjaan akan berkurangan kerana kita terpaksa bergantung 100 peratus peluang pekerjaan yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat yang mempunyai modal dalam negara,” katanya. – UTUSAN