Nama calon BN belum dimuktamadkan - Utusan Malaysia

Nama calon BN belum dimuktamadkan

ISMAIL Sabri Yaakob sempat beramah mesra bersama salah seorang peniaga selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil yang berlansung di Datara Merdeka. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, senarai calon yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini masih belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, kesemua Ketua Bahagian UMNO dan pemimpin parti komponen BN sudah menghantar nama calon masing-masing untuk diperhalusi dan dibincangkan di peringkat tertinggi.

“Nama calon masih belum muktamad kerana perlu ada perbincangan lanjut bersama semua parti komponen BN. Nama (calon) sudah diberikan minggu lepas, jadi kita akan buat pemilihan dan perbincangan,” katanya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan bertanding di 191 kerusi Parlimen pada PRU15 dengan semua parti komponen dan Friends of BN juga akan mendapat peluang untuk bertanding di bawah gabungan itu buat kali pertama.

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15, ia turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai permohonan persatuan-persatuan penjaja, Ismail Sabri berkata, permohonan itu akan dilihat selepas PRU15 kerana buat masa ini, beliau tidak boleh meluluskan sebarang permohonan.

“Permohonan itu saya tidak tahu lagi apa yang diminta, cuma Shahidan (Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim) sebut dalam ucapan dia, ada lima persatuan penjaja buat permohonan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN