Najib tidak pernah keluarkan wang tunai walaupun ada berbilion dalam akaun - Utusan Malaysia

Najib tidak pernah keluarkan wang tunai walaupun ada berbilion dalam akaun

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengeluarkan wang tunai daripada dua akaun peribadi AmIslamic miliknya walaupun berbilion didepositkan ke dalam akaun itu.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa bekas Perdana Menteri hanya menyalurkan wang dalam akaun itu kepada pelbagai entiti bagi tujuan politik.

Saksi pendakwaan ke-37 itu turut bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Najib tidak pernah mengeluarkan sebarang cek daripada kedua-dua akaun bank tersebut di bawah namanya sendiri.

Soalan itu dikemukakan oleh pihak pembelaan kepada saksi dengan merujuk kepada dua akaun peribadi Najib yang berakhir dengan nombor akaun 694 dan 880.

Muhammad Shafee: Bagi seseorang seperti beliau (Najib) yang mahu berbelanja, tunai adalah lebih mudah kerana ia tipikal (kebiasaan) rakyat Malaysia?
Uma Devi: Ia bergantung kepada individu.

Uma Devi berkata demikian pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada prosiding perbicaraan sebelum ini, Uma Devi memberitahu Mahkamah Tinggi, pada November dan Disember 2011, Najib mengeluarkan cek berjumlah RM2,494,000 kepada pelbagai pihak.

Entiti berkenaan ialah Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. (RM494,900), Yayasan Rahah (RM1 juta), ORB Solutions Sdn. Bhd. (RM450,000), Mashi Publication Sdn. Bhd. (RM30,000) dan Transformasi Kreatif (RM520,000).

Katanya, beberapa syarikat, individu, parti dan entiti juga menerima cek daripada Najib sepanjang 2012.

Jelas beliau, antaranya bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah yang menerima RM100,000; Barisan Nasional Negeri Selangor (RM400,000); Badan Perhubungan UMNO Pahang (RM760,000) dan Salt Media Consultancy Sdn. Bhd. berjumlah RM49,000.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.