PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan nahas udara helikopter berhampiran Brinchang, Cameron Highlands petang ini membabitkan Pasukan Doktor Udara (FDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika kejadian, pasukan itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melakukan lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Beliau berkata, notifikasi kejadian diterima Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands pada pukul 1.50 petang dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.
“Mangsa yang terlibat seramai enam orang terdiri daripada seorang pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat kesihatan, pembantu kesihatan awam, seorang jururawat masyarakat dan seorang juruterbang.
“Saya difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat selaku pasukan first responder sampai ke lokasi kejadian dan dalam usaha membawa turun semua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dua pasukan perubatan kecemasan diketuai seorang pakar perubatan kecemasan turut digerakkan ke tempat kejadian dari HoSHKA.
Khairy berkata, semua mangsa dibuat penilaian terlebih dahulu oleh pasukan petugas perubatan di zon rawatan apabila dibawa keluar dari tempat nahas.
Menurutnya, mangsa yang stabil dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, manakala yang mengalami kecederaan distabilkan terlebih dahulu di HoSHKA sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
“Setakat pukul 7 malam, empat mangsa yang cedera dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan untuk dilakukan penilaian perubatan.
“Dua daripadanya dirujuk ke HoSHKA untuk pemeriksaan lanjut dan penilaian semula status kesihatan masing-masing manakala dua lagi masih di zon rawatan.
“Sementara itu, dua lagi mangsa sedang dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan. Punca helikopter membuat pendaratan kecemasan masih di dalam siasatan,” katanya.
Katanya, perkembangan terkini kejadian dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan nahas udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW berhampiran Tanah Rata pada pukul 1.03 petang.
Helikopter dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn. Bh.d yang dinaiki enam individu termasuk lima pegawai perubatan itu berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada pukul 12.20 tengah hari. – UTUSAN










