KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) enggan mengulas berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ingin menghormati semua parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, buat masa ini, Muda memberi keutamaan kepada permuafakatan antara satu sama lain.
“Mengenai pembahagian kerusi serta kawasan itu saya lebih selesa berbincang secara tertutup.
“Kami akan maklumkan apabila perbincangan selesai dan mencapai kesepakatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahan kerusi Muar, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga enggan memberi ulasan sehingga semua rundingan dengan parti sekutunya selesai.
Semalam, Muda dibanjiri kecaman di laman Twitter susulan tindakannya memperkenal calon, Siti Rahayu Baharin, 41, ketika mengadakan siri ceramah di Kampung Baru.
Tindakan Muda mengintai peluang bertanding di kerusi majoriti Melayu di Titiwangsa itu menyebabkan parti itu didakwa ‘melanggar’ rakan kerjasama dalam PH.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pernah mendakwa bahawa kerusi Tititwangsa pada asalnya adalah milik Parti Amanah Negara (Amanah) dan kemudian diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. – UTUSAN