PETALING JAYA: Classita Holdings Bhd melantik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Classita, perlantikan itu menandakan komitmen syarikat untuk memperkukuh tadbir urus korporat dan pembangunan sejajar kepentingan awam.
Katanya, pelantikan itu seiring kemunculan NexG Bhd. sebagai pemegang saham utama syarikat berkenaan selepas mengambil alih 32.61 peratus pegangan ekuiti.
“Dengan pengalaman berkhidmat berdekad dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin memahami cabaran yang dihadapi penjawat awam, khususnya dalam mendapatkan perumahan yang mampu milik dan bermaruah.
“Sejajar dengan itu, Classita berhasrat untuk mencadangkan pembinaan perumahan khusus kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) di tanah miliknya di Ulu Kelang, yang khusus untuk menyokong kebajikan dan keperluan perumahan anggota polis serta keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Razarudin berkata, inisiatif tersebut selaras dengan peralihan syarikat ke arah pembangunan yang bertanggungjawab secara sosial dan sejajar dengan prinsip Madani.
“Inisiatif ini bukan tentang hartanah, ia tentang tujuan. Dengan mencadangkan perkara ini kepada KPDRM, kami mewujudkan penyelesaian yang saling menguntungkan dan meningkatkan taraf hidup mereka yang berkhidmat untuk negara sambil menyelaraskan masa depan Classita dengan pembangunan bermakna yang dipacu oleh nilai sosial,” katanya.
Syarikat itu turut mengumumkan penstrukturan semula dalaman yang menyaksikan bekas Pengerusi Eksekutif, Ng Keok Chai dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif.
“Beliau akan terus memainkan peranan aktif dalam memacu pelaksanaan projek dan pembangunan perniagaan di bawah hala tuju baharu syarikat,” kata Classita.
Sehingga berita ini ditulis semalam, saham Classita di Bursa Malaysia naik 0.010 mata kepada 0.090 sen sesaham, manakala saham NexG jatuh 0.16 mata kepada 0.38 sen sesaham. – UTUSAN










