KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Muafakat Nasional (MN) masih belum berkubur dan masih tiada batu nisan.
Beliau berkata, peluang untuk Pas menjalin kerjasama dengan UMNO masih terbuka walaupun selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
“Kalau kita hayati kuliah Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) semalam, kita boleh faham bahawa MN bukan berkubur tetapi kita ambil nafas yang agak panjang sedikit atas sebab-sebab tertentu yang berlaku dalam MN.
“Bukan bermakna ia terus terkubur dan letak batu nisan, lagipun macam-macam perkara boleh saja berlaku lepas PRU15 nanti (untuk kerjasama).
“Jadi, tidak ada mana-mana pihak yang dikuburkan dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan T-Bikers Kemah Keming 2022 – 1st Gathering di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, semalam.
Kelmarin, Abdul Hadi, menjelaskan keputusan Pas menangguhkan dahulu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 kerana masih terdapat ‘kekeruhan’ dalam parti itu.
Abdul Hadi berkata, antara ‘kekeruhan’ yang dimaksudkan ialah masih terdapat kes melibatkan penerima rasuah yang belum selesai.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, individu yang berintegriti tinggi, mempunyai pengetahuan dan hubungan baik dengan masyarakat adalah antara kriteria utama yang akan dipilih oleh Pas sebagai calon PRU15 nanti.
“Pas bertanding PRU15 bersama Perikatan Nasional (PN) bukan untuk jadi pembangkang, kita ingin menjalankan tanggungjawab memerintah bersama sebagai sebuah kerajaan.
“Jadi sudah tentu calon yang ingin kita pilih harus merangkumi pelbagai kriteria bukan sahaja ketua kepada masyarakat tapi ada ciri-ciri tertentu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata PN akan menyelesaikan pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kalangan parti komponennya sebelum pertengahan minggu depan.
“Dalam sehari dua lagi, semua negeri dan kawasan akan menyerahkan senarai calon pilihan untuk dinilai serta dipilih dalam mesyuarat khas itu nanti,” katanya. –UTUSAN