PETALING JAYA: Orang ramai diingatkan untuk tidak terpedaya dengan taktik penipuan terbaharu yang mengambil kesempatan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan pemberian bantuan RM500 menerusi pautan ‘Touch ‘N Go (TNG) melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).
Modus operandi bagi penipuan itu adalah dengan pemberitahuan mengenai bantuan e-dompet RM500 yang diberikan kepada rakyat atas sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerlukan pengesahan identiti menggunakan pautan yang ‘bertopengkan’ aplikasi itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan pautan itu bukan pautan rasmi TNG yang sebenar.
Katanya, pautan bagi TNG bukannya touchngoemy.top, emy.top itu sahaja jelas menunjukkan ia palsu.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan jangan tekan link berkenaan.
“Pautan yang betul tidak akan ada emy.top itu, kalau ada emy.top ini sudah pasti ia adalah sindiket penipuan dalam talian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, Eng Lai berkata, tiada sebarang laporan berkaitan penipuan itu dilaporkan di daerah terbabit.
Jelasnya, TNG juga tidak akan menghantar sebarang mesej atau pemberitahuan kepada pengguna dan tindakan sedemikian dilihat berpotensi kepada sindiket penipuan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai pemakluman bantuan e-dompet RM500 daripada pihak Barisan Nasional melalui pautan TNG sehingga seorang mangsa didakwa kehilangan RM1,950 selepas mengakses pautan tersebut. – UTUSAN










