Masih kritikal: Doakan Hisham Ahmad Tajuddin - Utusan Malaysia

Masih kritikal: Doakan Hisham Ahmad Tajuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Tidak ada perkembangan positif. Ayah makin kritikal”

Itu maklumat yang dikongsi anak pelakon, Hisham Ahmad Tajuddin, Aqeela Mohd. Hisham mengenai keadaan terkini ayahnya yang dirawat di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam sejak Khamis lepas akibat jangkitan paru-paru.

Kata Aqeela, kesihatan ayahnya masih tidak menunjukkan perkembangan positif, selain doktor menasihatkan dia dan ahli keluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

“Ayah telah dirawat dengan menggunakan antibiotik, bagaimanapun doktor maklumkan, ubat yang diberikan tidak memberi sebarang tindak balas terhadap jangkitan yang dialaminya.

“Doktor memberitahu, keadaannya terlalu kritikal. Dia minta kami bersedia untuk apa keadaan sekalipun.

“Paru-parunya terjejas teruk dan masih bergantung kepada mesin pernafasan. Jadi, doktor tidurkan ayah supaya dia dapat berehat,” kongsinya.

Kongsi Aqeela, ayahnya menghidap kencing manis dan darah tinggi, namun keadaannya terkawal kerana sering membuat pemeriksaan secara berkala.

“Kesihatannya bagaimanapun, merosot sejak Isnin lalu selepas dia mengalami batuk berpanjangan.

“Kami sekeluarga pada awal ingatkan dia hanya batuk biasa. Apabila ditanya tentang keadaannya, dia kata tiada apa perlu dirisaukan, hanya perlu makan ubat.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi semakin teruk apabila batuk dialami tidak berkurangan, malah mengeluarkan kahak yang banyak,” ceritanya yang turut memaklumkan ayahnya tidak pernah dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, Aqeela memohon kepada orang ramai agar mendoakan ayahnya kembali sembuh dan dapat menikmati kehidupan seperti sedia kala.

“Saya mohon semua mengenali ayah agar mendoakan dia kembali sihat seperti sediakala dan dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya bersyukur kerana rakan-rakan, saudara-mara tidak berhenti menghubungi saya dan bertanya tentang perkembangannya.

“Saya harap anda semua tidak putus mendoakan ayah saya kerana apa pun yang berlaku, semua ditentukan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya