SEPANG: Setelah menempuh pengalaman diazab selama lebih tujuh bulan, seorang rakyat Malaysia akhirnya berjaya diselamatkan dari KK Garden, sebuah lokasi terpencil di Myanmar.
Usaha membawa pulang David (bukan nama sebenar), 21, kembali ke tanah air turut dibantu oleh seorang peniaga warga Malaysia yang berada di Thailand dikenali sebagai Victor Wong.
Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok turut menolong mangsa dari segi dokumen perjalanan bagi membolehkan balik dengan menaiki pesawat Thai Airways penerbangan TG 417.
Ketibaan lelaki itu yang berasal dari Selangor disambut oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim di sini.
Dia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 7.50 malam tadi setelah bertolak dari Bangkok pada pukul 5.04 petang (waktu Thailand) semalam.
“Mangsa ini mulanya diarah pergi ke Kelantan sebelum dibawa masuk mengikut laluan tikus ke negara jiran awal Februari lalu,” katanya menerusi wakil perhubungan MHO, Daniel Khoo.
Dari Thailand, dia dipaksa menaiki sebuah kereta melalui perjalanan selama dua hari lagi bagi menyusup masuk ke Myanmar dengan ugutan renjatan elektrik sebelum tiba di KK Garden.
Lokasi hab pemerdagangan manusia terkenal ini dekat bandar Lashio, negeri Shan di utara negara itu dan terletak 360 kilometer dari ibu kota Naypyidaw atau 11 jam memandu kereta.
Kawasan ini menempatkan hampir 60,000 mangsa dari pelbagai negara dan dikawal ketat pasukan bersenjata tempatan disokong junta Myanmar yang tidak dapat pun berbuat apa-apa.
Mengulas lanjut, David mendedahkan bahawa terdapat ribuan lagi rakyat Malaysia berada di KK Garden dengan diagihkan kepada beberapa ‘syarikat’ untuk operasi penipuan atas talian.
‘Pelanggan’ mereka di seluruh dunia termasuk Malaysia dan mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan ini dikerah bertugas 17 jam dengan diberikan makan percuma tiga kali setiap hari.
“Mereka yang gagal capai sasaran jualan akan dihukum dengan teruk dipukul selain diseksa berlari atau tekan tubi serta makan daging tikus disalut cili pedas dan hati ayam,” katanya lagi.
Kesemua mereka dilayan seperti hamba abdi dengan ditempatkan dalam bilik kecil yang setiap satunya mengandungi lapan orang tanpa ada kemudahan bekalan elektrik dan air bersih.
Mangsa hanya boleh dibebaskan sindiket jenayah berkenaan sekiranya dibayar pampasan tinggi sehingga mencecah RM40,000 yang bergantung kepada budi bicara ‘syarikat’ mereka.
David yang bernasib baik menerima bantuan Victor, kemudian dibawa balik ke Thailand dan menjadi mangsa pertama dari KK Garden diselamatkan MHO sebelum pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun dia sedih mengenangkan ramai rakannya terperangkap di lokasi tersebut yang dianggap terlalu kebal daripada boleh dimasuki oleh pihak pasukan polis Myanmar sendiri.
Pada masa sama, dia menasihatkan belia negara ini agar tidak terpedaya sebarang tawaran pekerjaan menarik di luar negara yang diragui dengan konon diberi ganjaran upah lumayan.
Sementara itu, Hishamuddin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat khasnya Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dalam melancarkan kepulangan mangsa ke tanah air.
Usaha misi MHO bagi membebaskan mangsa malahan diperkasakan tanpa kira masa selain mempergiatkan kempen kesedaran untuk remaja tidak terjebak dalam kancah jenayah itu. – UTUSAN










