Lebih 87,000 veteran ATM belum terima PJM

Lebih 87,000 veteran ATM belum terima PJM

veteran
MOHD Reza Mohd Sany menyampaikan PJM kepada 503 veteran tentera di KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seramai 87,913 veteran tentera yang layak menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) masih belum menerima pingat tersebut kerana majlis pengurniaannya yang agak terhad.

Berikutan itu, Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan pada 29 September lalu bersetuju untuk mewakilkan kuasa kepada Pegawai-Pegawai Tinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyempurnakan Majlis Pemakaian PJM tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus menyatakan keputusan itu membolehkan pihaknya menyasarkan pengurniaan pingat tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh lapan tahun.

“Kita berharap dapat mengurniakan PJM kepada kira-kira 12,000 penerima setahun sekali gus menyelesaikan masalah mereka yang belum menerima PJM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Negeri Perak 2022 di KD Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Majlis penganugerahan itu melibatkan 503 penerima disempurnakan oleh Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Dalam pada itu, Mohd Reza menjelaskan keputusan mewakilkan kuasa itu sedikit sebanyak akan membantu untuk mempercepat pemberian PJM kepada semua veteran ATM.

Katanya, majlis penyampaian itu merupakan kali pertama disempurnakan sendiri oleh TLDM dan kali keempat diadakan tahun ini, bermula di Kelantan pada April lalu, diikuti di Johor (Mei) dan Sarawak pada Ogos lalu.

Jelas beliau, pengurniaan PJM yang dilaksanakan sejak 3 Mac 2004 itu adalah pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kebebasan negara daripada ancaman komunis.

Beliau memaklumkan, anugerah hari ini diberikan kepada veteran tentera yang berkhidmat dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dari 1 Januari 1969 sehingga 2 Disember 1989 serta menentang Pasukan Komunis Kalimantan Utara dari 1 Januari 1969 sehingga 17 Oktober 1990.

Sehingga kini, seramai 31,921 veteran ATM telah menerima pingat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya