KUALA LUMPUR: Kualiti bacaan Al-Quran yang ditonjolkan peserta Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-62 (MTHQA62) menunjukkan peningkatan memberangsangkan selepas dua tahun tidak diadakan ekoran pandemik Covid-19.
Hakim MTHQA, Syeikh Dr. Mohamed Ali Atafay berkata, peningkatan itu boleh dilihat sejak proses tapisan diadakan pada Mac lalu yang menyaksikan 36 peserta terpilih pada edisi kali ini.
Katanya, peserta dipilih melalui beberapa kriteria iaitu tajwid, fasohah (kefasihan dari sudut sebutan), maqamat (tahap suara) dan keindahan suara.
“Disebabkan proses tapisan sudah dibuat di peringkat awal, semua peserta berada dalam prestasi agak baik, contohnya Malaysia, Brunei dan Singapura yang ada ciri khas, sama juga dengan negara Arab lain.
“Setiap negara ada ciri khas yang membezakan peserta tetapi secara keseluruhan prestasi semua peserta adalah memberangsangkan,” katanya ketika ditemui.
Justeru, beliau berharap Malaysia meneruskan penganjuran majlis tilawah di peringkat antarabangsa.
“Dengan penganjuran ini, Malaysia terpulihara daripada sebarang bentuk ancaman dan Malaysia perlu fokus kepada melahirkan lebih ramai huffaz supaya ramai pelapis dapat menyertai majlis ini.
“Malaysia juga boleh menjalin kerjasama dengan negara-negara Arab dari segi manhaj atau pendekatan penghafalan al-Quran, kerana mereka menghafal al-Quran dulu, kemudian tulisan dan qiraat, itu metodologi di negara Arab,” katanya.
Seorang lagi hakim MTHQA, Dr. Maria Ulfah berkata, berdasarkan pemerhatian beliau, kualiti bacaan peserta banyak menunjukkan peningkatan sesuai dengan peraturan majlis meliputi tajwid, fasohah dan suara.
“Alhamdulillah, peserta banyak peningkatan tahun ini meskipun dua tahun majlis ini tidak dilaksanakan. Dengan pelaksanaan tilawah ini, kalau selama ini para peserta mampu membaca dengan suara yang indah, saya harapkan al-Quran menjadi pelajaran dan difahami isi kandungannya, bahkan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Dalam tilawah kali ini, ustaz dan ustazah memahami isi kandungan yang dibacakan dan diharapkan majlis ini tetap dipertahan pada masa akan datang. Peserta tidak hanya perlu pandai membaca dan menghafal al-Quran tetapi mampu menyelaraskan ajaran-ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, peserta tilawah negara, Sofizah Mousin yang membacakan surah Yunus pada Sabtu lalu mengakui MTHQA kali ini agak mencabar, namun bersyukur dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
“Saya dapat surah Yunus dan ia memang surah yang agak mencabar kerana banyak mad jaiz, mad wajib dan idgham, malah ayatnya agak panjang nak cari waqaf ibtida’, jadi memang mencabar tetapi sebagai peserta. Saya sudah cuba yang terbaik, saya bersyukur dan ada hikmah diberikan surah ini,” katanya.
Beliau juga menganggap MTHQA sebagai platform terbaik untuk meningkatkan lagi kualiti bacaan al-Quran setelah melakukan persediaan selama dua tahun.
“Boleh nampak perubahan yang agak ketara, kalau dulu terutama dari segi tajwid, kesilapan teknikal dan suara itu banyak peningkatan dalam tempoh dua tahun ini. Jadi, saya harap majlis ini dapat diadakan setiap tahun untuk menarik lagi orang ramai mendekati al-Quran,” katanya. – UTUSAN










