MUAR: Sebuah klinik kesihatan baharu akan dibina di Pagoh dekat sini bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang tidak lagi mampu menampung peningkatan penduduk setempat untuk mendapatkan rawatan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek pembinaan klinik kesihatan berkenaan yang menelan kos sebanyak RM42 juta itu kini dalam proses akhir dan dijangka dimulakan tidak lama lagi.
Katanya, kerajaan amat memandang berat isu berkaitan kesihatan masyarakat dan akan memastikan setiap klinik atau hospital mampu memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kita tidaklah menjanjikan bulan dan bintang, namun kerajaan negeri akan memberikan perkhidmatan yang termampu untuk keselesaan rakyat di negeri ini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, di sini semalam.
Kerajaan negeri juga akan membina jambatan kedua bagi Kampung Pencu dengan peruntukan RM80 juta untuk memudahkan penduduk setempat ke Pekan Pagoh dan bandar Muar.
“Kerajaan negeri juga mendengar keluhan daripada penduduk sekitar pekan Jorak yang kini semakin sepi berbanding dengan pekan Pagoh.
“Bagi mempopularkan kembali pekan Jorak, jalan pintas Bukit Pasir akan dinaik taraf bagi menghubungkan antara pekan Jorak, Bukit Pasir dan Paya Panjang dengan peruntukan RM25 juta,” katanya. –UTUSAN










