ISKANDAR PUTERI: Khabar angin pembubaran Parlimen dalam masa terdekat tidak memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran kerajaan Johor yang memberi tumpuan meningkatkan pelaburan ke negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kestabilan kerajaan negeri menjadi lebih kukuh setelah Barisan Nasional (BN) menang lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada Mac lalu.
Katanya, kestabilan politik ini yang menjadi pemangkin pelabur dari luar negara berminat mengembangkan perniagaan mereka di Johor yang dilengkapi kemudahan infrastruktur selain kedudukannya yang strategik.
“Biarpun ada khabar angin mengatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, tetapi di Johor mampu memberi jaminan kestabilan pentadbiran dalam tempoh lima tahun yang mendatang.
“Sebabnya, kita berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi dipertandingkan pada PRN, sebuah kerajaan yang stabil.
“Saya kongsikan ini bukan kerana ingin mendabik dada tetapi memberi jaminan bahawa kita mampu menyediakan polisi kerajaan yang konsisten dan kestabilan politik untuk tempoh lima tahun ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Sankyu Technical Academy di Persiaran Medini Sentral 2, di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden Sankyu Inc. Jepun, Kimihiro Nakamura dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.
Onn Hafiz berkata, kestabilan politik serta visi kerajaan negeri juga berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi dalam negara iaitu RM60.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2022.
Katanya, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi membuka mata pelabur asing untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan di rantau ini seperti jaringan pengangkutan, meningkatkan kemudahan utiliti dan sebagainya.
“Kita menyambut baik hasrat Sankyu yang membuka akademi teknikal pertama seumpamanya di luar Jepun.
“Ini kerana kita turut mengkoordinasi program teknikal sumber manusia untuk memastikan melahirkan tenaga pakar mencukupi untuk industri di Johor. Harap kedua pihak akan terus bekerjasama di masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN