Kerajaan NS mahu teruskan mandat rakyat berbaki lapan bulan

Kerajaan NS mahu teruskan mandat rakyat berbaki lapan bulan

AMINUDDIN Harun (tengah) beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Pecah Tanah Lot Kediaman Harapan Generasi Baru Felda Palong Fasa 1 di Felda Palong 12, Jempol hari ini.- UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan akan terus komited untuk memikul mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berbaki tempoh lapan bulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dalam tempoh berkenaan, kerajaan Negeri Sembilan akan terus melaksanakan agenda mensejahterakan rakyat termasuk yang sudah diperjuangkan sejak empat tahun lalu berkaitan rumah generasi kedua di tanah-tanah rancangan Felda di negeri ini.

Kerajaan negeri juga katanya, tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob demi kepentingan rakyat.

“Pembangkang juga beri sokongan, yang beria-ia mahu pilihan raya tu apa pasal? lainlah kami (pembangkang) nak tarik beliau (Ismail) turun bawah, jadi lah Perdana Menteri sampai habis, takut ada orang lain mahu jadi Perdana Menteri sahaja.

“Kami juga mahu ucap selamat datang kepada Perdana Menteri pada hari Sabtu ni sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Bandar Sri Jempol dan saya juga akan bersama dalam program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Lot Kediaman Harapan Generasi Baru Felda Palong Fasa 1 di Felda Palong 12, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tiga negeri di bawah kerajaan PH iaitu Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Anwar berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH selepas pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Negeri Sembilan diadakan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN