PUTRAJAYA: Keputusan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan beberapa dokumen membabitkan transaksi kewangan antara firma pelaburan Goldman Sachs dengan bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya ditetapkan pada 8 Disember ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaluddin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nafsy Yasin dan Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.
“Kami memerlukan masa untuk meneliti hujahan tetapi bukan pada minggu ini. Kita tetapkan pada Disember,”katanya.
Hadir pada hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi pihak pendakwaan manakala Najib yang hadir diiringi pegawai-pegawai penjara diwakili peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Panel terbabit menetapkan tarikh tersebut pada rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Julai 2021 yang menolak dua permohonannya untuk meminta pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB mendedahkan 19 dokumen perbankan yang dikaitkan dengan keluarga Zeti atas dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.
Pada 24 Mac 2021, Najib, 67, memfailkan permohonan untuk mendapatkan 19 dokumen bank bagi beberapa buah syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Dr. Tawfiq Ayman yang merupakan suami kepada Zeti.
Najib sekali lagi pada 5 April 2021 turut memohon dibekalkan dengan beberapa lagi dokumen termasuk perjanjian penyelesaian Malaysia dengan Goldman Sachs.
Dalam afidavit yang disahkan oleh Najib bagi menyokong permohonannya, beliau berkata, pendedahan berhubung penyelesaian dengan Goldman Sachs itu penting dalam pembelaannya, dan hak beliau untuk perbicaraan yang adil.
Beliau turut memohon transkrip atau laporan forensik daripada perbualan telefon Tim Leissner, yang juga bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, serta data yang disimpan oleh pelayan (server) Goldman Sachs melibatkan komunikasi Leissner.
Beliau memohon kesemua dokumen-dokumen tersebut atas dakwaan ia mengandungi keterangan yang berpihak kepadanya dalam membuktikan pembelaannya dalam perbicaraan kes membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Najib kini berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan kes itu bersambung 7 November ini. – UTUSAN