PETALING JAYA: Asisten Superintenden Polis antara penjawat awam yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin kerana terlibat dalam kartel pengurangan saman trafik.
Ini melibatkan beberapa negeri mulai 2016 hingga kini dengan transaksi wang berjumlah lebih RM5 juta.
Turut direman iaitu Sub-Inspektor dan anggota pangkat bawahan termasuk jawatan kakitangan guna sama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai saman.
Jelas beliau, setiap saman yang diselesaikan, suspek akan menerima di antara RM5 sehingga RM15 setiap satu.
“Kesemua yang direman telah dibebaskan dan siasatan lanjut berkenaan kes berkenaan masih giat dijalankan,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, SPRM menahan 11 individu terdiri daripada empat anggota PDRM, enam penjawat awam dan seorang awam ditahan.
Kartel pengurangan saman ini akan menerima wang tersebut, sebahagian jumlah akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan suspek-suspek yang bertugas di agensi berkenaan.
Suspek kemudiannya akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM.
Bayaran itu akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompaun menerusi sistem.
Dalam pada itu, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 telah dibekukan oleh SPRM. – UTUSAN