Kandungan dedak dipertikai, jejas kesihatan manusia

Kandungan dedak dipertikai, jejas kesihatan manusia

ADA syarikat pengeluar makanan ayam didakwa membekalkan dedak mengandungi unsur mengakibatkan kanser kepada ‘pemakan ayam’. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat gergasi pengeluar makanan ayam negara ini didakwa membekalkan dedak tidak berkualiti kepada penternak kontrak yang kan­dungannya dipercayai boleh men­jejaskan kesihatan.

Kandungan dedak itu bertujuan membantutkan tumbesaran ternakan untuk menjimatkan kos pengeluaran tetapi boleh memberi kesan negatif kepada manusia.

Sumber industri berkata, per­kara itu didedahkan sepasukan pe­nyelidik dari sebuah persa­tuan penternak ayam kontrak, hasil uji kaji ter­hadap kandungan dedak berkenaan.

Sumber itu mendakwa, daripada penyeli­dikan tersebut didapati, terdapat beberapa bahan da­lam dedak tersebut berpotensi memberi kesan kepada ke­sihatan pengguna termasuk kemungkinan kanser.

“Pengeluar dedak ayam di negara ini tidak dipantau, tiada akta yang mengawal pengelua­rannya. Jadi, suka hati kartel ma­hu letak apa saja ramuan da­lam dedak ayam.

“Terbaharu, ada kajian daripada penyelidik mewakili sebuah persatuan penternak ayam menunjukkan kadar toksik da­lam dedak itu yang lama-kelamaan boleh menyebabkan kanser kepada orang yang makan ayam.

“Saya ingat perkara ini, sebab ia ada dibangkitkan dalam satu mesyuarat bersama persatuan tersebut,” kata sumber di sini, semalam.

Utusan Malaysia tidak membuat sebarang uji kaji terhadap sampel dedak tersebut.

Malaysia merupakan antara negara pengguna daging ayam tertinggi di dunia dengan penggunaan per kapita tahunan 46.8 kilogram (kg) dan dijangka mencapai 50kg menjelang 2025.

September lalu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendedahkan kewujudan lima syarikat pengeluar makanan ayam yang dinamakan dalam keputusan cadangan mereka, sebagai membentuk kartel.

Dalam kenyataan itu, MYCC mengesan lima syarikat terbabit melalui dapatan awal yang tertera pada keputusan cada­ngan MyCC, melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan menaikkan kuantum harga makanan ternakan itu di negara ini.

Menjelaskan lanjut, sumber berkata, kerajaan harus serius menangani isu dihadapi penternak ayam kontrak, yang se­ring ditindas kartel dan integrator dalam industri ayam.

Katanya, seluruh rantaian industri ayam dikawal oleh lima syarikat pengimport induk ayam (grand parent stock), lima pengeluar makanan, beberapa pengimport bahan mentah ja­gung dan soya serta kira-kira 30 pembekal anak ayam.

Dalam masa sama, katanya, daripada 30 pembekal anak ayam, kira-kira 20 merupakan integrator atau penternak ayam bersepadu, yang mempunyai segala fasiliti daripada mene­taskan telur sehingga kepada mempunyai kilang sembelihan sendiri.

“Menyedari hal ini, seluruh sistem pengeluaran ayam, terutama di peringkat huluan (upstream) dikawal oleh pihak swasta yang berkuasa mutlak. Mereka inilah yang membekalkan anak ayam DOC serta makanan ayam kepada penternak kontrak.

“Maka kami mendesak kerajaan agar menubuhkan segera Lembaga Unggas Negara bagi menyelia sektor ini. Jika tidak, maka selama-lamanya kerajaan akan ditekan oleh gergasi industri, dan rakyat pula beri­siko mendapat penyakit kanser kerana mengambil ayam dalam diet seharian,” kata sumber.

Sementara itu, satu sumber yang terlibat menjalankan kajian terhadap isi kandungan makanan ayam memberitahu, punca makanan ayam mendorong kanser kerana kandu­ngan sisa jagung dan soya kitar semula yang digunakan sebagai ramuan makanan ternakan itu.

“Sekarang, harga soya dan jagung bijirin mencanak naik hampir sekali ganda. Jadi, pengilang makanan ayam terpaksa kurangkan kos. Caranya, mereka menggunakan hampas jagung dan soya kitar semula saja.

“Seperti semua sedia maklum, bahan makanan kitar semula ini, misalnya minyak masak, memang mendedahkan manusia kepada pelbagai masalah kesihatan terutama kanser.

“Jadi, makanan ayam sekarang dibuat menggunakan hampas bijirin kitar semula. Ia dimakan oleh ayam. Kemudian, kita pula makan ayam itu. Boleh fikir apa kesannya,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN