Kanada, England sertai kali pertama Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa - Utusan Malaysia

Kanada, England sertai kali pertama Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa

IDRIS Ahmad (kiri) melihat Astaka Tilawah dan Menghafaz al-Quran pada program Pra-Pelancaran MTHQA Ke-62 Tahun 1444H/2022M di Audditorium JAKIM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 bermula 19 Oktober ini buat pertama kalinya akan disertai peserta dari England dan Kanada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, dua negara baharu itu adalah antara 31 buah negara yang bakal bertanding bagi MTHQA kali ini.

Beliau berkata, pertandingan kali ini menampilkan kelainan apabila beberapa negara baharu turut serta termasuk peserta dari Mauritania, Afghanistan, Afrika Selatan dan Slovenia.

“Secara keseluruhan, 41 peserta akan mempersembahkan bacaan masing-masing selama enam hari bermula 19 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),” katanya dalam sidang akhbar majlis pra pelancaran MTHQA ke-62 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Idris berkata, penganjuran kali ini turut berbeza apabila hanya mempertanding satu kategori iaitu tilawah al-Quran.

“Kebiasaannya penganjuran MTHQA melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk,” katanya.

Selain itu Idris berkata, Jawatankuasa Induk MTHQA juga sebulat suara bersetuju supaya peserta yang akan menyertai MTHQA perlu melalui sesi saringan terlebih dahulu.

“Sesi saringan kelayakan peserta MTHQA telah selesai dijalankan pada 1 hingga 7 Julai lalu secara dalam talian yang melibatkan penyertaan 64 orang peserta daripada 40 buah negara,” katanya.

Katanya, sesi saringan kelayakan peserta MTHQA telah dinilai oleh barisan jemaah hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang al-Quran.

Idris berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah perkenan untuk berangkat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Johan Qari dan Qariah sempena MTHQA.

Dalam pada itu, katanya, penganjuran kali ini turut menampilkan keunikan tersendiri iaitu menggunakan teknologi sistem tiga dimensi (3D) grafik realiti diperkukuhkan (AR) untuk menarik perhatian dan menyentuh jiwa penonton dalam mentadabbur ayat suci al-Quran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya