KUALA LUMPUR : Selebriti dan pempengaruh media sosial, Siti Jamu Mall, kesal dengan kecuaian pekerja di sebuah salon di Johor Bharu, Johor, yang telah menyebabkan dia berdepan dengan risiko botak akibat terlalu lama mewarnakan rambutnya semalam.
Menurut Siti, atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin,sebelum mendapatkan khidmat di salon berkenaan, dia tidak mempunyai masalah rambut namun kecewa apabila kini terpaksa berdepan dengan keguguran rambut yang ketara.
“Jahanam rambut saya. Sekarang dah nipis, sampai nak hilang semua. Boleh tengok dah nak botak! Saya baru lepas bercakap dengan peguam dan terangkan apa terjadi. Saya tak minta banyak memandangkan perkara ini sudah terjadi, rambut pun dah rosak.
“Jadi saya nak mereka bertanggungjawab untuk perbaiki semula rambut saya. Itu saja.Dari jam 8 malam hingga 2 pagi pun tak selesai lagi. Akhirnya mereka cuba baiki sampai jam 6 pagi hari ini baru saya balik rumah. Tak tahu nak cakap macam mana.
“Saya cari duit dengan membuat sesi ‘live’. Kalau keadaan saya macam ni memang malu lah saya. Kalau ikutkan peguam, saya boleh saman malu dan minta ganti rugi berdasarkan berapa lama saya tak boleh ‘live’.
“Tapi saya tahu dia takkan mampu bayar kalau nak kira sekali saya ‘live’ berapa pendapatan yang dapat. Jadi saya harap mereka boleh bertanggungjawab. Kalau memang tak reti buat rambut pelanggan, janganlah. Rambut saya sihat dan tidak ada masalah pun sebelum ni,” katanya.
Selain itu, kata Siti, dia berdepan masalah lebih besar iaitu rambut botak jika tidak dapat diselesaikan dalam masa dua minggu.
“Pendandan itu ‘bleach’ rambut saya sampai lebih sejam. Apabila saya tanya, dia cakap itu perkara biasa. Masing-masing tak nak ambil tanggungjawab hingga saya buat ‘live’. Ketika itu semua kelam kabut datang nak buatkan rambut saya. Tapi, tak tahu boleh selamat lagi atau tak.
“Rambut ini adalah mahkota bagi setiap wanita. Sedih sangat dengan apa yang terjadi.Kawan saya yang kerja di salon ada cakap, selepas dua minggu rambut saya boleh botak. Kalau tengok sekarang dah macam apa. Kosong, habis nampak kulit kepala.
“Rambut saya sampai pendek dan putus banyak. Banyak kesilapan dia buat, pertama dia biarkan rambut saya dalam keadaan ‘bleach’ sampai lebih sejam lebih, dia biar begitu saja. Lepas tu pasang ‘hitter’.
“Saya pula tak tahu semua ni. Saya percaya sebab dia cakap sudah tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini,” katanya.
Terdahlu, Siti Jamumall memuat naik hantaran beberapa video di TikTok yang berkongsi perkara itu.