Jho Low rancang tubuh TIA, tukar nama kepada 1MDB

Jho Low rancang tubuh TIA, tukar nama kepada 1MDB

jho low
JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan pasukannya merancang penubuhan sebuah syarikat pelaburan strategik bagi mengumpul dana untuk membangunkan negeri Terengganu sekitar 2007.

Jho Low memaklumkan demikian kepada pengurusan AmBank yang merujuk kepada Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) yang kemudian ditubuhkan pada Julai 2009.

TIA dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan manakala Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.

TIA kemudiannya dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 2009 dan dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dikemukakan melalui keterangan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping pada perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Menurut Joanna, 51, Jho Low merancang membuat pelaburan di Terengganu kerana ketika itu Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud merancang membangunkan negeri berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-41 berkata, Tengku Rahimah yang juga adinda Sultan Mizan ketika itu adalah Pengarah Loh & Loh Corporation Bhd..

“Bantuan yang mereka (Jho Low dan pasukan) minta daripada bank adalah untuk mengemukakan cadangan terbitan bon untuk syarikat terbabit,” ujarnya ketika membacakan pernyataan saksi.

Terdahulu, Joanna berkata, beliau pertama kali mengenali Jho Low ketika ditugaskan oleh Chan Wan Seong (Pengarah Perhubungan Perbankan Ambank ketika itu) untuk mengendalikan pinjaman Majestic Masterpiece Sdn. Bhd. pada tahun 2007.

Katanya, selain Jho Low, beliau turut diperkenalkan oleh Wan Seong kepada Tan Vern Tact (pegawai Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad) dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil.

Joanna berkata, Majestic dimiliki oleh Wynton Private Equity Group dan Abu Dhabi Kuwait Malaysia Investment Corporation (ADKMIC) yang ketika itu dalam proses mengambil alih saham Loh & Loh Corporation Berhad dan Putrajaya Perdana Berhad.

Menurut saksi, Jho Low ialah salah seorang pengarah Wynton.

Katanya, tidak lama selepas pinjaman Majestic diluluskan dan pemerolehan dua entiti selesai, Jho Low memaklumkan mengenai pengumpulan dana terbabit.

“Seingat saya, bagi cadangan terbitan bon oleh bank, ada satu mesyuarat awal diatur di antara saya dan Jho Low, Casey Tang dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta pegawai Ambank dan pegawai Pasaran Modal Hutang.

“Kami pada mulanya diminta memberikan cadangan untuk terbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun.

“Namun pegawai dari Bahagian Perbendaharaan dan Pasaran Modal Hutang menyatakan bahawa mungkin tidak cukup pelabur bagi bon RM10 bilion, dan tempoh selama 30 tahun juga tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Akhirnya pelanggan bersetuju mengurangkan saiz terbitan bon dengan jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion bagi tempoh 30 tahun.

“Saya tidak pasti siapa membuat keputusan supaya jaminan kerajaan dikeluarkan, tetapi setakat mana yang saya tahu, Perbendaharaan/Pasaran Modal Hutang Bank berkongsi pandangan ia mungkin diperlukan untuk bon melebihi tempoh 20 tahun.

“Biasanya, pelanggan yang membuat keputusan muktamad mengenai struktur bon dan bagi 1MDB, pelanggan memainkan peranan penting dalam mendapatkan jaminan kerajaan untuk bon berkenaan,” katanya.

Joanna berkata, selepas penerbitan bon itu dipersetujui, TIA membuka akaun di AmBank bagi tujuan menerima hasil daripada pengeluaran bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).

Namun demikian beliau tidak pasti siapa yang mengaturkan pembukaan akaun berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 7 November.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN