Jangan timbul spekulasi kes culik babit warga Palestin - Utusan Malaysia

Jangan timbul spekulasi kes culik babit warga Palestin

ACRYL SANI ABDULLAH SANI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak digesa tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung insiden penculikan seorang warga Palestin di ibu negara, baru-baru ini kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 11 individu sudah pun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat lalu.

Kata beliau, penculikan berkenaan adalah bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Disember depan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pada 5 Oktober lalu, Polis Kuala Lumpur menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia selepas terlibat dalam kes culik membabitkan seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan yang dijalankan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur keesokannya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa yang berusia 31 tahun sedang berbual bersama seorang rakan yang juga warga Palestin di hadapan sebuah premis di lokasi kejadian.

Mangsa kemudiannya didatangi beberapa individu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire sebelum suspek bertindak menarik mangsa masuk sebelum melarikannya.

Rakan mangsa yang berada di lokasi bagaimanapun tidak sempat berbuat apa-apa dan kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sejurus selepas kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.