KUALA TERENGGANU: Orang ramai tidak perlu mempolitikkan isu penganjuran sebuah karnival di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus dekat sini kerana ia tidak menawarkan hiburan melampau yang memberi kesan negatif kepada pengunjung.
Sebaliknya, penganjuran program itu bertujuan mempopularkan lagi Terengganu sebagai negeri pelancongan dan pada masa sama menawarkan hiburan Islamik yang patuh syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, karnival itu sesuai dikunjungi masyarakat pelbagai lapisan umur, agama dan bangsa kerana ia juga bertujuan melonjakkan lagi sektor ekonomi negeri.
“Sejak semalam, pelbagai kecaman diterima kerajaan negeri pimpinan Pas di media sosial kerana karnival itu diadakan sehari sebelum sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu.
“Di sini, saya tegaskan antara pengisian pada karnival itu ialah jualan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan serta menawarkan hiburan berkonsepkan Islamik dan ilmu melalui penganjuran forum,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengenai kecaman warganet kerana pelbagai syarat yang ditetapkan kerajaan negeri kepada penganjur pula, Ariffin berkata, syarat-syarat tersebut telah termaktub dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu dan telah dipersetujui oleh penganjur iaitu Media Prima Berhad.
“Besar harapan kerajaan negeri agar penganjur dapat melaksanakan program tersebut mengikut garis panduan hiburan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Baru-baru ini, penganjuran konsert Riuh Sokmo di Kelantan menerima kecaman rakyat Malaysia kerana dikatakan tidak patuh syariat seperti mana yang ditetapkan kerajaan negeri pimpinan Pas dengan sebahagian penonton menari terkinja-kinja mengikut rentak lagu.
Selepas itu, tular pula video sebuah konsert tidak jauh dari Masjid Zahir di Kedah yang mencetuskan rasa kurang senang umat Islam kerana memaparkan aksi penonton sedang melompat dan menari menyaksikan persembahan itu. – UTUSAN