Insentif buat penderma darah akan diperbaiki

Insentif buat penderma darah akan diperbaiki

KHAIRY Jamaluddin (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan sijil projek pembinaan Klinik Kesihatan Lenggeng daripada Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya Seremban, Ir. Ainor Izman Maimun@Mahmood (tiga dari kanan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 5) Lenggeng di Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa akan memperbaiki pemberian insentif kepada individu penderma darah di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, insentif dan keistimewaan tersebut tetap berkait dengan perkhidmatan kesihatan dan bukan melibatkan insentif tunai.

“Kami akan memperbaiki insentif dari semasa ke semasa, tetapi insentif yang berkait dengan perkhidmatan kesihatan, sebagai contoh insentif mendapatkan rawatan di wad kelas dua ataupun keutamaan pemberian untuk rawatan tertentu.

“Tidak bercadang untuk memberikan insentif tunai, mungkin selepas ini boleh diperluaskan  bukan hanya daripada segi perkhidmatan rawatan mungkin apa-apa insentif kesihatan pencegahan dan sebagainya.

“Kita boleh menawarkan kepada penyumbang darah dan mereka yang telah berikrar untuk menderma organ,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 5) Lenggeng, di sini semalam.

Sementara itu, Khairy berkata, penambahan Kad Derma Darah sebagai ciri baharu dalam MySejahtera dilihat sangat dialu-alukan oleh orang ramai khususnya dalam kalangan penderma darah.

“Mereka tidak perlu lagi membawa kad mereka, hari ini kita keluarkan sebagai kad digital namun selepas ini penambahbaikkan seterusnya adalah rekod, setiap kali derma darah kita akan masukkan rekod dan mereka tidak perlu bawa buku merah lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, Klinik Kesihatan Lenggeng baharu itu dilengkapi pelbagai perkhidmatan kesihatan dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk setempat bermula 17 Oktober ini.

Klinik tersebut menurutnya bagi menggantikan klinik lama yang telah dibina pada tahun 1955. 

“Pembinaan Klinik Kesihatan Lenggeng ini diharap dapat membantu penduduk di Lenggeng serta kawasan sekitar seperti Ulu Beranang dan Broga bagi mendapatkan rawatan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih banyak, selesa serta berdekatan dengan kediaman,” katanya.

Khairy pada majlis tersebut turut bersetuju supaya sebuah mesin x-ray dibekalkan di klinik berkenaan yang melibatkan kos kira-kira RM1 juta.

“Perkhidmatan x-ray ini akan memberikan manfaat kepada kira-kira 14,650 populasi penduduk setempat, khususnya saringan untuk kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas. 

“Selain itu, perkhidmatan x-ray tersebut juga nanti dapat digunakan untuk membuat saringan ke atas para tahanan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng yang menempatkan sehingga 1,300 orang.

“Kemudahan ini akan berupaya mengekang isu penyakit berjangkit  seperti Tibi dan mengelakkan pergerakan keluar daerah. Ia juga akan mempercepatkan perawatan kes kecemasan kerana Klinik Kesihatan Lenggeng merupakan klinik oncall,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN