PETALING JAYA : Kerajaan bersetuju memberi bayaran khas one-off RM500 kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.
Seramai 72,000 orang menerima manfaat dengan peruntukan RM36 juta.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan setiap tahun menyediakan hampir RM700 juta sebagai bayaran elaun bulanan kepada imam, guru KAFA dan guru takmir sekali gus mereka berperanan besar dalam mendidik anak-anak dan mengimarahkan Islam di peringkat komuniti.
Katanya, sejumlah RM1.5 bilion disediakan bagi Jabatan Perdana Menteri untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dengan membawa agenda memartabatkan syiar Islam di samping usaha itu terus diutamakan.
“Bagi 2023, kerajaan menyediakan RM150 juta untuk menyelenggara fasiliti pendidikan di bawah seliaan Jakim antaranya sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar,” katanya.
Katanya, industri halal Malaysia diunjur dalam RMK-12 akan menyumbang 8.1 peratus kepada KDNK dan menjana RM56 bilion pendapatan eksport menjelang 2025.
Sehubungan itu, untuk menyemarakkan pembangunan industri halal, RM92 juta disediakan antaranya meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap pada tahun depan dengan peruntukan RM59 juta.
“Kedua, pelaksanaan program Malaysia Services and Halal Global bagi mempromosi produk halal di pasaran global dengan peruntukan RM8 juta. Ketiga, melaksanakan inisiatif pembangunan industri halal bagi meningkatkan pematuhan pensijilan halal dan mengadaptasi inovasi halal dengan peruntukan RM6.5 juta ringgit.
“Keempat memperkenal Wakaf Halal PKS OKU bagi melaksanakan program onboarding kepada OKU yang ingin menceburi bidang perniagaan halal dengan peruntukan RM2.5 juta,” katanya. – UTUSAN