Golongan pekerja diseru wakaf gaji RM15 sebulan

Golongan pekerja diseru wakaf gaji RM15 sebulan – Raja Muda Perlis

TUANKU Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis seminar kesedaran berwakaf peringkat negeri ini bersempena Program Roadshow Bulan Wakaf Kebangsaan (BWK) 2022 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penjawat awam dan swasta di setiap perkhidmatan di negeri ini diseru menyertai program berwakaf secara tunai bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui potongan gaji bulanan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menerusi kempen jom berwakaf 50 sen sehari atau RM15 sebulan ia mampu menjana pendapatan wakaf yang konsisten untuk dimanfaatkan kepada pelbagai inisiatif wakaf berimpak tinggi. 

Titah baginda, sesungguhnya dana wakaf tunai yang besar amat diperlukan bagi merealisasikan setiap agenda dan inisiatif wakaf seperti yang dirancang. 

“Kejayaan pembinaan bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) merupakan mercu tanda kejayaan sumbangan wakaf tunai seluruh masyarakat dalam membantu meringankan beban pesakit yang menderita dan memerlukan rawatan kesihatan sempurna. 

“Keunikan amalan wakaf ini adalah disebabkan manfaatnya yang bersifat universal, boleh dinikmati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, sosio-ekonomi dan sebagainya. 

“Walaupun sedikit nilainya tetapi memberi seribu makna kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena seminar kesedaran berwakaf peringkat negeri ini bersempena Program Roadshow Bulan Wakaf Kebangsaan (BWK) 2022 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. Majlis disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil

Keberangkatan tiba Tuanku Lailatul Shahreen dalam majlis anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Putrajaya bersama MAIPs ialah Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Selamat Paigo dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd Noor.

Terdahulu, turut diadakan diskusi meja bulat, perkongsian pengalaman wakaf panel sarjana, pegawai wakaf negara-negara Islam yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Muhammad Fathullah Al-Hadj Muhammad Asni.

Turut dilaksanakan ialah pemeteraian upacara menandatangani Surat Hasrat Pelantikan Nazir Wakaf Pendidikan Jamalullail KUIPs yang disaksikan oleh Tuanku Lailatul Shahreen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya