Feri baharu Pulau Pinang kini 40 peratus siap - Utusan Malaysia

Feri baharu Pulau Pinang kini 40 peratus siap

FERI baharu Pulau Pinang yang kini dalam fasa pembinaan di Vietnam dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Projek pembinaan feri baharu Pulau Pinang kini pada tahap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, SPPP telah mengadakan lawatan ke dua tapak pembinaan feri tersebut pada 3 hingga 4 Oktober lalu di Vietnam.

Jelas beliau, lawatan itu bagi meninjau kemajuan projek pembinaan feri baharu serta mengadakan perbincangan bersama pihak pembekal dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) berkaitan pembinaan dan jadual penghantaran feri ke Pulau Pinang.

”Kemajuan pembinaan feri adalah 40 peratus dan dijadualkan siap pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan bahagian pulau negeri ini sejak 126 tahun lalu digantikan dengan bot laju bermula 1 Januari 2021 sementara menantikan feri baharu siap dibina.

Feri sedia ada pula digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.

Menurut Teik Cheng, pihaknya gembira kerana feri baharu itu sedang rancak dibina secara serentak di kedua-dua limbungan di Vietnam, malah komponen-komponen feri serta bentuk feri Pulau Pinang yang baharu telah mula kelihatan.

Selain itu katanya, pelancaran kapal untuk pengujian air dijadualkan pada Mei dan akan dihantar ke perairan Pulau Pinang pada penghujung Jun tahun depan.

”SPPP akan membuat pemakluman dari semasa ke semasa mengenai perkembangan feri baharu Pulau Pinang. Maklumat lanjut berhubung konsep feri dan sebagainya pula akan dimaklumkan oleh PPSB,” katanya.

Tambahnya, SPPP percaya pengenalan feri Pulau Pinang itu akan memberi nafas baharu kepada konsep reka bentuk feri serta berupaya memberikan perkhidmatan feri yang lebih baik kepada pengguna.

Dalam pada itu katanya, PPSB telah memanggil satu tender terbuka bagi perolehan feri baharu Pulau Pinang.

“Sebanyak 36 syarikat telah memasuki tender tersebut yang mana 23 pembida adalah syarikat tempatan dan 13 pembida adalah syarikat antarabangsa. Sembilan pembida telah disenarai pendek dan PPSB melantik Damen Shipyards Gorinchem B.V. Netherlands sebagai pembida yang berjaya selepas memenuhi keperluan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya