BACHOK: Enam remaja yang berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas 15 pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur dalam kejadian di Tawang, di sini, Ogos hingga September lalu.
Pengakuan itu dibuat oleh kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.
Bagaimanapun, setiap tertuduh didakwa antara dua hingga tiga pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah bilik di kedai makan di Jelawat, Bachok antara pukul 12.30 tengah malam sehingga 2.30 pagi pada pertengahan Ogos sehingga September.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi dan kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.
Terdahulu, Mohd Hakimie memohon supaya tiada jaminan ditawarkan.
Bagaimanapun, Norizaidah memohon jaminan memandangkan kesemua tertuduh masih bersekolah dengan kesemua keluarga terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu dua lagi remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol mangsa yang sama di Tawang, Bachok pada Ogos dan September lalu.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pertama didakwa atas dua pertuduhan iaitu merogol remaja terbabit.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh pertama kerana melakukan kesalahan serius.
Bagaimanapun, Abu Arsalnaa mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh pertama diikat jamin manakala tertuduh kedua dibenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu mengikut syarat tambahan yang dicadangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
Mahkamah turut menetapkan 23 November depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN