Empat kampung di Kuala Muda alami banjir kilat

Empat kampung di Kuala Muda alami banjir kilat

ANGGOTA APM Daerah Kuala Muda mendukung Phua Ah Soon yang kudung sebelah kaki ketika menyelamatkan lelaki itu dalam banjir kilat di Kampung Air Mendidih, Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Empat buah kampung di Daerah Kuala Muda, di sini terjejas dalam kejadian banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam pada awal pagi ini.

Kejadian itu menyebabkan hampir 40 rumah di Kampung Toh Pawang, Kampung Air Mendidih, Kampung Haji Wahab dan Kampung Bukit Belah dimasuki air setinggi kira-kira satu meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada pukul 3.55 pagi sebelum anggota penyelamat diatur gerak ke lokasi terlibat.

“Sebanyak 16 rumah penduduk di Kampung Toh Pawang dimasuki air, Kampung Haji Wahab (14), Kampung Bukit Belah (8) dan dua buah rumah di Kampung Air Mendidih.

“Anggota membantu memindahkan kesemua 59 mangsa ke tempat selamat dan sekitar pukul 9 pagi ini, air mulai surut yang membolehkan mereka kembali ke kediaman masing-masing,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, berikutan keadaan kembali pulih, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, sebaliknya hanya menempatkan anggota di kampung terlibat untuk memantau keadaan semasa.

Menurut Azhar, punca kejadian adalah disebabkan sistem perparitan di semua kawasan terlibat tidak sempurna selain lokasi kediaman agak rendah berbanding penempatan lain di daerah ini.

“Anak sungai di kawasan ini juga dipenuhi sampah sarap menyebabkan aliran air tersekat dan dengan taburan hujan yang lebat menyebabkan air melimpah ke kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Air Mendidih, G. Uthirasan, 75, berkata, rumahnya yang terletak berdekatan anak sungai dimasuki air dengan pantas dan beberapa barangan mengalami kerosakan.

“Nasib baik ketika kejadian empat anak dan dua cucu saya berada dalam rumah membantu mengangkat beberapa barangan sebelum dibantu anggota Pertahanan Awam yang turut berada di lokasi,” katanya.

Penduduk kampung sama, Phua Ah Soon, 65, turut terkejut kerana air memasuki rumahnya terlalu pantas ketika sedang tidur berseorangan ketika kejadian.

“Saya yang kudung sebelah kaki terharu kerana tindakan pantas APM berjaya membawa saya keluar. Walaupun alami kerugian kerana banyak barangan rumah rosak ditengelami air, saya lega kerana tidak ditimpa sebarang bahaya dalam kejadian itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya