PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ketika pimpinan DAP di negeri itu mahu berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DUN Pulau Pinang hanya dibubarkan pada tahun depanyang disifatkan lebih kondusif selepas banjir yang diramalkan pada berlaku November dan Disember tahun ini.
“Saya perlu mengecewakan rakan saya sendiri di Pulau Pinang kerana saya tahu kalau buat keputusan supaya DUN Pulau Pinang bubar tetapi Selangor dan Negeri Sembilan tidak bubar, ini akan diterjemahkan sebagai satu keputusan yang memecahbelahkan PH.
“Ini juga akan menjadi senjata dan peluru kepada musuh kita yang menggambarkan seolah-olah PH tidak bersatu dan tidak boleh membuat keputusan kolektif.
“Maka, kami putuskan untuk kekal dengan pendirian bahawa kita akan menangguhkan pembubaran DUN Pulau Pinang sehingga satu tempoh yang lebih kondusif ialah selepas tempoh monsun,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negeri (Amanah), Mohamad Sabu.
Pada 5 Oktober lalu, Majlis Presiden PH memutuskan bahawa tiga negeri jajahannya iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan membubarkan DUN masing-masing sehingga selepas musim tengkujuh.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin DAP Pulau Pinang mempunyai pandangan berbeza dan mahu supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang berjalan serentak dengan PRU15.
Dalam sidang media hari ini juga, Anwar mengesahkan ketiga-tiga negeri jajahannya tidak membubarkan DUN masing-masing bagi memastikan persiapan dibuat untuk menangani banjir di negeri terbabit.
“PH adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka. Alasannya, kita menolak kerakusan pemerintah memaksa pilihan raya dalam keadaan rakyat derita susah menghadapi banjir.
“Kita juga mahu jentera kerajaan yang sah dan mempunyai mandat menumpukan kepada persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir, bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka,” katanya. – UTUSAN