PETALING JAYA: Enam individu terselamat selepas lif dinaiki mereka jatuh dari tingkat lapan dalam kejadian di sebuah blok kondominium di Lengkok Thamby Abdullah, Brickfields, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.52 malam itu, dua individu patah kaki manakala empat lagi tidak mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sebanyak 11 anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah ke lokasi kejadian.
Kata beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi pukul 10.12 malam, terdapat lif di blok berkenaan yang terjatuh dari tingkat lapan
“Enam individu berada di dalam lif terbabit ketika kejadian itu yang terdiri daripada tiga wanita, dua lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
“Dalam kejadian ini, terdapat seorang wanita dan seorang lelaki patah kaki. Mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, operasi itu tamat sepenuhnya pukul 11.35 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan. – UTUSAN