Dua lelaki diburu kes rompak rumah kedai - Utusan Malaysia

Dua lelaki diburu kes rompak rumah kedai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis memburu dua lelaki yang merompak sebuah kediaman di rumah kedai di Taman Saujana Puchong di sini sehingga penghuninya kerugian RM76,000, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, tiga lelaki memecah masuk kediaman itu dan melarikan wang tunai RM65,000 serta barang kemas dianggarkan bernilai RM11,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ketika kejadian, terdapat seorang penghuni iaitu wanita Indonesia berusia 43 tahun di rumah terbabit.

Katanya, mangsa ditendang oleh salah seorang suspek sebelum mereka melarikan wang tunai dan barang kemas yang disimpan dalam almari.

“Berikutan kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran tampil membuat laporan polis pada pada 7.39 malam pada hari sama.

“Hasil risikan dan maklumat, sepasukan anggota dari D9 (Jenayah Berat) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia, semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Azlan, hasil pemeriksaan, pihaknya merampas wang tunai RM17,000 serta pelbagai barang kemas yang disyaki hasil rompakan dilakukan suspek lelaki bersama dua lagi rakannya.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam rompakan itu. Justeru, kita sedang giat menjalankan gerakan memburu dua rakan sejenayah suspek yang masih bebas,” katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor S. Anthony John di talian 012-5043470 atau Pusat Kawalan Daerah, IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 dengan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.