'Dr. Mahathir yang mulakan gerakan Bersatu keluar PH' - Utusan Malaysia

‘Dr. Mahathir yang mulakan gerakan Bersatu keluar PH’

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa penarikan parti tersebut daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dimulai sendiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri Ke-8 mendedahkan Dr. Mahathir memulakan gerakan untuk Bersatu keluar daripada PH tapi membuat pusingan apabila Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau.

Walau bagaimanapun katanya, ketika itu, Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) Bersatu sudah membuat keputusan untuk keluar daripada PH tetapi ia tidak menandakan Dr. Mahathir perlu meletakkan jawatan.

“Sebelum itu, kalau kita masih ingat, Tun Mahathir telah didesak oleh beberapa pihak di dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri seterusnya.

“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT Bersatu supaya kekal berada di dalam PH. Tetapi MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Muhyiddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh menjelaskan, keputusan keluar daripada PH dibuat disebabkan Bersatu semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH terutamanya DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum.

“Walaupun kecewa dengan keputusan MPT Bersatu, Tun Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan kerana pada masa itu telah ada 138 Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Parlimen dari Bersatu, PKR, PAS, BN, GPS, PBS dan Warisan yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Saya adalah salah seorang Ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. Maksudnya, walaupun Bersatu keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Tun Mahathir letak jawatan juga atas kerelaannya sendiri,” katanya.

Tambahnya, melalui mesyuarat khas MPT Bersatu sekali lagi sebulat suara membuat keputusan mencalonkan semula Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu tetapi malangnya beliau tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pun gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Negara pada masa itu terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Pada ketika itulah saya sekali lagi didatangi oleh rakan-rakan dalam parti Pas dan UMNO yang menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Menurut mereka, inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang terumbang-ambing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya