SEGAMAT : Polis berjaya menumpaskan satu sindiket yang bergerak aktif melakukan kegiatan pecah rumah serta curi kenderaan sekitar Segamat sejak minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, empat individu berumur lingkungan 32 hingga 54 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Labis dan Daerah Kluang pada 7 Oktober lalu.
“Kumpulan itu dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah serta curi kenderaan yang dilaporkan pengadu di Segamat pada 7 Oktober lalu.
“Pemburuan kesemua suspek dilakukan sebaik mangsa yang membuat laporan rumahnya dipecah masuk dan hilang kenderaan Honda Accord digaraj, motorsikal Honda Vario serta tiga sport rim diruang tamu ketika mangsa tiada di kediamannya selama sebulan.
“Suspek yang ditahan turut melibatkan pengusaha bengkel dan operator trak tunda yang sebelum ini diburu untuk membantu siasatan kes termasuk dua lagi individu yang terbabit dengan kumpulan ini.
“Kejayaan tangkapan dalam tempoh tidak sampai 24 jam Op Lejang Khas dan Op Pintu itu membabitkan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Segamat,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Segamat, Asistant Superintendan Dr. Karthiggaibalan Kisenasamy, Pegawai Serbuan (RO) Inspektor Abd.Majid Tasimin dan Ketua Balai Polis (OCS) Inspektor Hanaffi Ghazali.
Ahmad Zamry menambah, kumpulan ini menggunakan modus operandi sedikit berbeza dengan kumpulan lain apabila berkongsi rangkaian latarbelakang kepakaran ahli kes pecah rumah, curi kenderaan dan lerai kenderaan sebelum menjual hasil barang curi kepada yang berminat.
Suspek turut dipercayai bergerak aktif pada waktu malam serta awal pagi sekitar pukul 1 pagi namun tumpas hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata, suspek berumur 50an seorang pengusaha bengkel di Kluang manakala suspek berumur 30an merupakan operator trak tunda di mana dia membantu membawa kenderaan curi ke bengkel serta dipotong.
“Antara barangan rampasan kes adalah sebuah motosikal, kereta Honda Accord, tiga sport rim bersama tayar.
“Nilai rampasan barang rampasan berjumlah RM35,500 sementara nilai keseluruhan kerugian yang dilaporkan pengadu juga berjumlah RM35,500.
“Tempoh tahanan reman kesemua suspek selama lima hari bermula pada 8 Oktober, lalu namun dilanjutkan sehingga sembilan hari sehingga 16 Oktober ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379(A), berkaitan pecah rumah serta curi kenderaan. –UTUSAN