PETALING JAYA: Pemuda Barisan Nasional (BN) mempersoal mengapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) berdiam diri berhubung hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan Tommy Thomas.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu menimbulkan persoalan sedangkan pimpinan pembangkang mendakwa merekalah yang paling mendaulatkan undang-undang.
“Setakat ini belum ada sebarang komen atau kenyataan daripada mana-mana pimpinan PH mengenai hasil siasatan buku Tommy yang mendapati wujud salah laku dan perlakuan jenayah bekas Peguam Negara itu.
“Kenapa agaknya PH berdiam diri sedangkan kononnya merekalah yang menjadi juara mendaulatkan undang-undang dan institusi kehakiman?” soalnya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Jumaat lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas bekas Peguam Negara itu berhubung kandungan yang ditulis dalam bukunya.
Perdana Menteri berkata, terdapat empat isu utama daripada 19 isu penting dalam buku yang ditulis Tommy perlu disiasat lanjut oleh agensi penguatkuasa selepas laporan siasatan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia Kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional, dan kenyataan berbaur hasutan.
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 124(1) & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” kata beliau. – UTUSAN