Bermodalkan RM500, pekasam Kak Nah kini semakin terkenal - Utusan Malaysia

Bermodalkan RM500, pekasam Kak Nah kini semakin terkenal

MAZNAH Lateh berusaha keras menjalankan perniagaannya dan turut membuka peluang kerja kepada jiran dan penduduk sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEKALKAN modal sebanyak RM500, Maznah Lateh, 56, bertekad untuk memulakan perniagaan ikan pekasam pada tahun 2007 bagi meningkatkan ekonomi keluarga.

Maznah berkata, usahanya ternyata tidak sia-sia kerana kini produk ikan pekasam keluaran Kak Nah Berjaya Enterprise semakin kukuh bertapak dan dikenali ramai.

“Pada awal saya memulakan perniagaan ikan pekasam, saya beli 10 kilogram (kg) ikan yang diperoleh dari Tasik Gubir, 10kg beras serta seguni garam, menggunakan modal RM500.

“Untuk memasarkan ikan pekasam pula, saya bungkus dalam plastik dan hantar ke empat buah kedai runcit di pekan Sik menaiki motosikal bersama arwah suami ketika itu,” katanya.

Jelas anak jati Kampung Keda Kota Aur itu, dia sanggup menempuh jarak perjalanan hampir 40 kilometer (KM) sehala, dari rumahnya ke pekan Sik, untuk menghantar ikan pekasam ke kedai runcit di situ.

“Jauh memang jauh, tapi demi untuk menambah pendapatan keluarga, saya dan arwah suami gagahkan juga menaiki motosikal sejauh itu untuk memasarkan produk kami.

“Setiap tiga hari sekali, kami akan pergi ke pekan Sik untuk menghantar ikan pekasam. Bermula daripada 10 bungkus di setiap kedai, pemilik kedai runcit kemudiannya mahu kami tambah kerana pelanggan mula mencari ikan pekasam buatan saya,” ujarnya.

Maznah berkata, ketika ini terdapat kira-kira 30 buah kedai runcit yang menjual pekasam Kak Nah di daerah Sik dan Baling.

Tambahnya, kebanyakan produk pekasam yang dihasilkannya dijual pada harga mampu milik iaitu serendah RM6 untuk 200 gram.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga rezeki saya terus mencurah-curah, walaupun pada mulanya risau juga kerana sukar untuk memasarkan ikan pekasam.

Sejak itu juga saya mula membuat perkhidmatan mengepos ikan pekasam ke daerah dan negeri lain kerana permintaan pasaran yang amat menggalakkan.

“Sehingga kini, ada juga pelanggan dari negeri lain datang sendiri ke rumah saya untuk membeli ikan pekasam dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Menurutnya, selain ikan, dia juga turut menghasilkan pelbagai produk pekasam termasuklah daging, ayam, perut lembu, telur sotong dan udang kecil.

“Saya cuba pelbagaikan produk bagi memenuhi permintaan pelanggan. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Ikan pekasam juga terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah lampam, pucuk pisang, susuk batang, tereboi dan peras,” katanya.

Sementara itu, Maznah berkata, kejayaan perniagaan ikan pekasam yang diusahakannya didorong banyak faktor termasuklah sokongan suami, keluarga serta beberapa agensi terutamanya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menyediakan pinjaman untuk beliau mengembangkan lagi perniagaannya.

“Saya menjadi Sahabat AIM sejak tahun 1997 bermula dengan pinjaman sebanyak RM500 untuk saya menambah modal perniagaan. Sehingga kini saya telah membuat pinjaman berjumlah RM 308,900.00 dan kesemuanya telah selesai dibayar.

“Malah sewaktu saya hilang semangat untuk meneruskan perniagaan kerana kematian suami saya,Mohammad Mahmud pada 2016, setahun saya hentikan operasi.

Sahabat serta cikgu AIM yang banyak memberi semangat sehingga saya mulakan kembali perniagaan pada 2018,” katanya.

Tambahnya, sejak dari itu, dia terus berusaha keras kerana perniagaan yang dijalankannya turut membuka peluang kerja kepada jiran dan penduduk sekitar, sekali gus membantu mereka meraih pendapatan sampingan.

“Alhamdulillah, hasil usaha keras selama ini, saya berjaya mendapat pensijilan halal daripada

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1 September 2020 dan dalam permohonan untuk memperbaharui sijil tersebut melalui bimbingan yang disediakan di bawah Unit Pembangunan Usahawan AIM.

“Saya sangat gembira, bersyukur dan berterima kasih kepada AIM dan semua pihak yang banyak membantu saya mengekalkan dan mengembangkan perniagaan ikan pekasam ini. Jikalau ada yang teringin merasa Pekasam Kak Nah, boleh hubungi talian 019-5415614,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN