PONTIAN: UMNO Bahagian Tanjung Piai berharap supaya calon UMNO diberikan peluang bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketuanya, Datuk Jefridin Atan berkata, telah sampai masanya sistem penggiliran dilakukan dengan memberikan ruang kepada UMNO bertanding di kerusi tersebut.
Walau bagaimanapun, pihaknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) Pusat untuk menentukan calon bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai yang secara tradisinya diwakili oleh MCA.
“UMNO Bahagian (Tanjung Piai) sentiasa komited kerana kita membawa suara rakyat dan kali ini kita berharap kerusi Parlimen Tanjung Piai digilirkan kepada UMNO.
“Apa juga yang diputuskan oleh Presiden parti, sebagai orang parti kita perlu ada beberapa langkah lain yang pertama pengundi tidak merajuk dan kedua kena muhasabah sebagai parti dalam komponen BN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai di Dewan Muafakat Taman Sri Sentosa, Pekan Nanas di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai, Zarina Mohamed Bain.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kini disandang Datuk Seri Wee Jeck Seng yang memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2019.
Sebelum itu pada PRU14, Jeck Seng yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal tewas dengan majoriti tipis 524 undi kepada Allahyarham Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik.
Jefridin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup menambah, keputusan sama ada UMNO atau MCA bertanding mewakili BN di kerusi Parlimen Tanjung Piai diserah kepada pucuk pimpinan parti.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa jentera Pilihan Raya UMNO Bahagian Tanjung Piai telah berada pada tahap 100 peratus bagi menghadapi PRU15.
Menurutnya, pengalaman dalam dua pilihan raya, iaitu PRK Tanjung Piai dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu memberi kelebihan kepada UMNO Bahagian Tanjung Piai bagi menghadapi PRU15.
“Kejayaan di PRK Tanjung Piai serta PRN Johor apabila berjaya merampas kerusi DUN Pekan Nanas daripada PH dan mengekalkan kerusi DUN Kukup menjadi pemangkin bagi jentera kami,” katanya. – UTUSAN