Bekalan telur pulih hujung bulan ini

Bekalan telur pulih hujung bulan ini

ROZIAH Abudin (kanan) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran SHMP Deepavali di Pasaraya Mydin, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur di seluruh negara yang mengalami kekurangan antara lima hingga 10 peratus, pulih hujung bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Roziah Abudin berkata, masalah itu berpunca dari 21 ladang berskala kecil yang terpaksa ditutup kerana didapati tidak efisien manakala ladang besar seperti Huat Lai Resources Berhad di Merlimau dekat sini, tidak dapat menambah jumlah pengeluaran.

Katanya, usaha KPDNHEP adalah dengan membantu memberi modal kepada syarikat-syarikat besar bagi meningkatkan pengeluaran mereka untuk menampung kekurangan bekalan telur di pasaran.

“Usaha kerajaan menaikkan subsidi daripada tiga sen kepada lapan sen bagi telur Gred A, B dan C juga menjadi salah satu faktor mendorong syarikat-syarikat besar dapat meningkatkan pengeluaran untuk pasaran tempatan.

“Bekalan dijangka pulih dalam masa terdekat ini kerana jaminan yang diberikan oleh syarikat Huat Lai untuk meningkatkan pengeluaran manakala daripada segi harga pula ia kekal kerana masih dikawal.

“Mungkin bekalan itu ada, tetapi tidak mencukupi sepertiman tempahan dibuat kerana data kita menunjukkan pengurangan daripada lima hingga 10 peratus daripada tempahan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMP) Deepavali di Pasaraya Mydin, Ayer Keroha, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roziah berkata, KPDNHEP menerima banyak aduan di seluruh negara mengenai bekalan telur yang berkurangan di peringkat runcit berdasarkan tinjauan lapangan sebelum ini.

“Permintaan meningkat mendadak daripada industri, peniaga dan sebagainya sejak semua sektor ekonomi dibuka sepenuhnya selepas negara dilanda pandemik Covid-19. KPDNHEP akan memantau penggunaan telur di peringkat industri dan peniaga kedai makan, memandangkan penggunaan bagi isi rumah tidak meningkat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN