Bajet 2023: Perlu peruntuk hampir RM400b - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Perlu peruntuk hampir RM400b

PERUSAHAAN kecil dan sederhana perlu dibantu dari segi pemindahan teknologi, bantuan kewangan serta bantuan daripada pakar. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat memperuntukkan sekurang-kurangnya hampir RM400 bilion dalam peruntukan keseluruhan Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Norashidah Mohamed Nor berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah terbaik dalam usaha negara menuju pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, timbul kebimbangan sama ada kerajaan mampu memperuntukkan jumlah sebesar itu.

“Dalam negara (sedang) dalam pemulihan ekonomi, bajet itu perlu lebih banyak daripada tahun lepas.

“(Hampir 400 bilion) itu mungkin jumlah terbaik, tetapi adakah kerajaan kita mampu? Namun, kita harapkan Bajet 2023 kena lihat daripada semua aspek dan semua lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Oktober tahun lalu, Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ memperuntukkan sejumlah RM332.1 bilion.

Bajet 2022 mengariskan berdasarkan tiga matlamat induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi yang sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK) di samping beberapa pakej pemulihan ekonomi diumumkan sebelum itu.

Mengulas lanjut, Dr. Norashidah berkata, sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan tumpuan utama dalam belanjawan kali ini supaya dapat mengukuhkan momentum pemulihan negara.

Beliau berkata, sektor tersebut perlu diberi tumpuan lebih kerana bukan sahaja dapat meningkat pendapatan pengeluar, tetapi juga dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran negara untuk dieksport.

‘Kalau kita lihat di Indonesia, mereka maju dan ekonomi semakin baik sebab mereka memang beri tumpuan kepada industri kecil. Mereka bantu bukan sahaja untuk pasaran dalaman, tetapi juga untuk pasaran eksport.

“Jadi, kita tahu nilai mata wang kita jatuh, maka kita kena jadikan ia satu kelebihan yang mana barang yang dieksport kita akan lebih murah, jadi permintaan barang keluaran negara sendiri dijangka meningkat.

“Jadi kena bantu sektor PKS dari segi pemindahan teknologi, bantuan kewangan, bantuan daripada pakar untuk memantau mereka sama ada dari segi nasihat atau teknikal.

“Contohnya seperti pengeluaran cili, kita perlu bantu peladang kecil dan bila kita bantu mereka, maka kita tak perlu berharap lagi pada import,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, peruntukan kepada sektor pendidikan perlu diberikan keutamaan kepada dua aspek iaitu peningkatan taraf teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan penyelenggaran sekolah.

Katanya, peningkatan taraf itu perlu dilihat terutamanya dari segi peralatan dan kemudahan ICT di sekolah yang ketika ini sudah ketinggalan zaman dan capaian internet.

“Bagi memastikan apa-apa hal berkaitan komunikasi berjalan lancar, maka guru-guru kebanyakannya terpaksa menggunakan peralatan sendiri, sedangkan kita tahu ICT satu keperluan.

“Kalau kita lihat sektor lain, bidang ICT sangat penting, maka sektor pendidikan lagi penting dalam memastikan murid-murid tidak ketinggalan dari negara lain,” katanya.

Dari segi penyelenggaraan sekolah, beliau berkata, jumlah perlu sesuai dan adil bagi kira-kira 10,200 buah sekolah di negara ini.

“Kebanyakan sekolah perlu penyelenggaraan sama ada peringkit kecil mahupun besar, jadi sekarang berlaku kekangan peruntukan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk disalurkan kepada sekolah.

“Kita juga harap kerajaan dapat memberikan insentif pengiktirafan kepada guru-guru yang menggunakan peralatan dan capaian internet sendiri untuk tugasan rasmi.

“Kita mahu minta kemudahan itu disediakan kepada setiap guru mungkin melibatkan bajet besar, tetapi sekurang-kurangnya ada insentif untuk mengiktiraf mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti perlu lebih prihatin kepada rakyat susulan ekonomi negara yang masih dalam proses pemulihan di samping inflasi global.

Katanya, keprihatinan itu perlu dizahirkan sama ada dalam bentuk bantuan, tawaran atau subsidi kepada sektor-sektor ekonomi sekali gus dapat mengelakkan bebanan itu mengalir kepada pengguna.

“Sektor ekonomi seperti pertanian perlu diberikan tumpuan dengan diberikan insentif supaya lagi banyak produk makanan dapat dihasilkan dan kita tidak terlalu bergantung kepada peranan import.

“Langkah itu supaya rakyat boleh menikmati harga barangan yang tidak mahal walaupun ada kecenderungan ia akan naik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu memperluaskan bantuan kepada golongan M40 di samping meneruskan insentif sedia ada kepada mereka yang tergolong dalam kategori B40.

“Kita tahu sekarang golongan B40 dijaga dengan baik, tetapi M40 juga tertekan terutamanya mereka yang ada keluarga besar, jadi kita harap belanjawan kali ini dapat bantu mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya