PASIR MAS: Harga ayam segar mengalami kenaikan harga sejak dua minggu lalu susulan bekalan bahan mentah itu dilihat semakin berkurangan di pasaran ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Tasek Raja di sini hari ini mendapati rata-rata peniaga menjual ayam segar pada harga RM9.40 sekilogram.
Seorang peniaga, Kharizal Othman, 50, berkata, sepanjang tempoh dua minggu bekalan ayam mengalami kenaikan sebanyak RM0.40 sekali gus meresahkan para pengguna.
“Sebelum ni ayam dijual dengan harga RM9 sekilogram, namun disebabkan kenaikan harga di pihak pembekal, saya terpaksa menjual dengan harga RM9.40 sekilogram.
“Sebagai peniaga kami tidak mempunyai pilihan apabila terpaksa menaikan harga bagi mengelakkan kerugian,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Nurul Aniezah Ab Rahman,43, bagaimanapun memberitahu, permintaan ayam meningkat sejak dua minggu ini walaupun dijual pada harga mahal.
Katanya, permintaan tinggi itu disebabkan oleh aktiviti kenduri walaupun bekalan ayam mengalami sedikit pengurangan.
“Walaupun ayam mentah mengalami kenaikan harga tetapi ia dijual tidak melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.40,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan harga sayur di pasar berkenaan mengalami peningkatan harga yang mendadak sejak tiga bulan lalu.
Peniaga sayur, Mohd Nazri Ibrahim, 51, mengakui berlaku kenaikan harga sayur terutamanya sawi, kubis dan timun.
“Sebelum ini sawi dijual dengan harga RM2 sekilogram tetapi sekarang ini naik harga sehingga RM4 sekilogram. Kenaikan ini membebankan pengguna dan sekaligus menyebabkan jualan sayur merosot,”katanya.-UTUSAN