TUN Dr. Mahathir Mohamad sudah mengesahkan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahan kerusi Parlimen Langkawi yang dimenangi pada 2018.
Pada usia mencecah 97 tahun, Dr. Mahathir mungkin menjadi calon tertua yang bertanding. Hubungan beliau dengan Langkawi tidak perlu dihuraikan lagi sejak menjadi Perdana Menteri kali pertama selama 22 tahun dan 22 bulan lagi selepas itu.
Bukan sahaja faktor penolakan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14, namun ramai mengakui aura Dr. Mahathir yang berpengalaman luas dalam politik tidak dinafikan sebagai faktor penyumbang kemenangan PH pada pilihan raya ketika itu.
Kini ramai yang skeptikal dengan kemampuan Dr. Mahathir sama ada beliau mampu mengulangi kejayaan tersebut di bawah gabungan baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuainya.
Malah, ramai juga orang Langkawi terkejut mendengar pengumuman Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu yang mahu terus bertanding kerana mereka beranggapan Dr. Mahathir akan mengotakan ‘janjinya’ untuk memberi laluan kepada orang lain.
Namun, sebagai negara demokrasi yang tidak menghalang mana-mana individu berkelayakan untuk menyertai pilihan raya, mereka bersikap terbuka untuk sesiapa sahaja yang mahu menjadi wakil rakyat di pulau pelancongan itu.
Kata mereka, penyertaan Dr. Mahathir itu juga sebagai penanda aras kepada Pejuang sama ada diterima rakyat walaupun ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu, semua 42 calon mereka tewas dan majoritinya hilang deposit.
Sebagai negarawan, beliau sudah pasti memiliki kelebihan berbanding calon-calon lain apatah lagi jika mengambil kira jasanya terhadap pembangunan Langkawi sebaik sahaja pulau itu diberikan status bebas cukai pada 1987, iaitu enam tahun selepas menjadi Perdana Menteri.
Pada PRU14, Dr. Mahathir memperoleh 8,893 majoriti setelah 18,954 pemilih memberi undi kepadanya, mengatasi pencabar daripada Barisan Nasional (BN) yang meraih 10,061 dan hanya 5,512 undi kepada calon Pas.
Sama ada Dr. Mahathir benar-benar bertanding atau tidak hanya diketahui pada hari penamaan calon kelak. Namun, yang pasti radar kini tertumpu kepada siapa pula yang menyainginya dengan BN dikatakan berdepan ‘kocakan’ dalaman tentang calon.
‘Perebutan’ antara kem Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dengan pasukan bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada tiga Menteri Besar Kedah iaitu Datuk Armishah Siraj bukan rahsia lagi.
Tidak mustahil jika salah seorang daripada mereka terpilih, berlaku drama yang tidak enak dalam kempen BN kelak yang mana perkara itu dilihat boleh memberi kelebihan kepada Dr. Mahathir.
Saingan daripada Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) pula bukanlah cabaran besar sama ada kepada Dr. Mahathir atau BN, kerana kedua-dua gabungan itu dikatakan tidak memberi impak besar kepada Pulau Langkawi melainkan hanya dalam kalangan ahli masing-masing. – UTUSAN










